Wednesday, October 23, 2013

Barisan Dharma hambar di India

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara melengkapkan siri perlawanan persahabatan di India dengan kekalahan ketiga berturut-turut semalam.

Selepas tewas 2-4 dan 3-4 pada dua perlawanan pertama, skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah tewas tipis 1-2 pada perlawanan terakhir.

Namun pengurus pasukan Mirnawan Nawawi berkata, perlawanan terakhir itu adalah persembahan terbaik dipamerkan skuad negara sepanjang tiga perlawanan persahabatan dengan India di Stadium Hoki Mejar Dhyan Chand iaitu venue sebenar saingan Piala Dunia Remaja, Disember ini.

“Secara keseluruhan inilah persembahan terbaik dipamerkan pemain sepanjang tiga perlawanan persahabatan kerana Malaysia tidak memberikan sebarang pukulan sudut penalti kepada India.

“Yang membezakan kedua-dua pasukan ialah India lebih tajam dan kemas di dalam kawasan D.

“Penjaga gol mereka juga begitu cemerlang menafikan semua pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada skuad negara,” katanya.

Tiga perlawanan persahabatan itu sebahagian daripada program persediaan untuk saingan Piala Dunia Remaja di New Delhi dengan India menjadi antara pilihan utama untuk muncul juara.



Oleh Saiful Affendy Sapran , Arena Harian Metro


No comments:

Post a Comment