Monday, October 21, 2013

Azraai Khor angkat kaki

IPOH - Pada ketika isu sabotaj perlawanan masih belum reda, skuad Seladang menerima tamparan baharu semalam apabila jurulatih berkaliber, Mohd. Azraai Khor Abdullah membuat keputusan mengejut untuk meletak jawatan hanya semusim selepas mengendalikan pasukan itu.

Tanpa memberi alasan sebenar di sebalik keputusannya, Mohd. Azraai cuma menegaskan tindakan tersebut tiada kena mengena dengan isu penggantungan skuad Perak yang disiasat atas dakwaan rasuah dan sabotaj.

Namun jelasnya, beliau bukan meletak jawatan seperti mana yang diperkatakan di laman sosial, sebaliknya menamatkan perkhidmatan sebagai jurulatih atas persetujuan bersama dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Ya memang saya menamatkan kontrak sebagai jurulatih Perak. Ia dicapai setelah saya telah berbincang dengan Timbalan Presiden Pafa (Khairul Azwan Harun) semalam.
“Dalam perbincangan itu saya berterus terang menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak.
“Perbincangan berjalan dengan baik dan ia berakhir dengan kedua-dua pihak mencapai bersetujuan untuk kontrak saya ditamatkan.

“Memandangkan hari ini (semalam) hari Ahad, persetujuan dibuat secara lisan sahaja dan selepas ini segala syarat-syarat pelepasan kontrak yang telah dipersetujui akan ditandatangani.
“PAFA memahami hasrat saya dan mereka memudahkan segala urusan yang berkaitan dengan kontrak saya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd. Azraai, 61, menyertai skuad Perak pada hujung musim lalu menggantikan jurulatih sementara dari Korea Selatan, Jang Jung.

Di bawah bimbingannya, Perak menamatkan saingan Liga Super musim ini pada tangga ketujuh.
Namun, skuad Seladang digegarkan dengan isu dakwaan rasuah baru-baru ini sehingga menyebabkan pegawai pasukan itu, termasuk Mohd. Azraai digantung selama dua minggu untuk siasatan setelah Perak dibelasah 6-1 oleh Sarawak dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Sementara itu, mengenai andaian bahawa keputusannya meninggalkan Perak disebabkan kecewa dengan isu dakwaan rasuah yang melanda pasukan itu, Azraai berkata, perkara itu tiada kaitan.
“Tidak... Masalah itu (dakwaan rasuah) tiada kaitan dengan keputusan saya ini.

“Lagipun saya tidak takut untuk disiasat. Siasatan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) cuma untuk membersihkan nama saya, pegawai pasukan dan pemain," katanya.
Mengenai laporan beliau akan menyertai Kedah, Azraai yang pernah membimbing Kedah, Harimau Muda A dan Negeri Sembilan berkata, beliau belum memikirkan untuk memilih pasukan mana musim depan.

Pada Mei lalu, Mohd. Azraai dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Hijau Kuning apabila hadir untuk menonton perlawanan Liga Perdana di antara Kedah dan PDRM di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Namun, Mohd. Azraai menafikan spekulasi itu dengan memberikan alasan beliau sekadar hadir untuk menyaksikan perlawanan antara kedua-dua pasukan tersebut.
“Buat masa ini saya mahu berehat di kampung, saya belum lagi fikirkan ke mana haluan saya selepas ini," jelasnya.

Azraai turut mengucapkan terima kasih kepada PAFA dan penyokong skuad Seladang yang sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan yang padu kepadanya dan skuad Perak sepanjang musim ini.
“Antara kepuasan saya sepanjang bersama Perak ialah memberi peluang kepada pemain-pemain skuad Piala Presiden beraksi dalam skuad utama.

“Saya percaya pemain-pemain muda ini akan menjadi pemain utama untuk skuad Perak musim depan," katanya.

No comments:

Post a Comment