Thursday, October 17, 2013

Azizul kembali!


Kuala Lumpur: “Anda akan kembali melihat Azizul yang lama,” itu keyakinan dilontarkan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley ketika mengulas kemampuan Azizulhasni Awang (gambar) untuk kembali menggegarkan arena berbasikal negara.

Katanya, kemampuan Azizul tidak perlu dipersoal dan atlet kelahiran Terengganu itu mampu membuktikan dia antara pelumba terbaik dunia dan mengulangi pencapaian merangkul pingat perak Kejohanan Dunia pada 2009 dalam acara pecut dan 2010 menerusi keirin.


Beasley sentiasa memantau perkembangan atlet negara itu terutama apabila Azizul dijadual kembali beraksi pada siri Piala Dunia Klasik pertama di Manchester pada 1 November ini selepas terpaksa berehat panjang rentetan kecederaan tertusuk kayu dua tahun lalu.

Katanya, keyakinannya terhadap kemampuan Azizul cukup tinggi dan pemenang pingat emas Sukan Asia New Delhi itu berada di tahap terbaik dalam hidupnya ketika ini dan itu sudah cukup untuk menggambarkan tahap kemampuan Azizul untuk mengibarkan cabaran di Piala Dunia nanti.

Foto

“Mungkin anda tidak berada bersama Azizul kerana dia berada jauh dari Malaysia. Sukan ini amat kompleks dan isu sekarang ini hanya tahap keyakinan dan sebaik saja dia memperoleh semula keyakinannya, anda akan menyaksikan semula Azizul yang dulu.

“Tapi saya tidak pasti sama ada ia akan muncul di Manchester atau tidak namun anda hanya perlu tunggu dan lihat Azizul mempamerkan kehebatannya,” katanya,

Sementara itu Beasley turut meluahkan rasa bangga terhadap persembahan yang dipamerkan dua lagi pelumba elit negara Josiah Ng dan Fatehah Mustapa yang akan turut diuji apabila mereka berdepan jaguh dunia dalam acara masing-masing.

Selain tiga pelumba itu, skuad berbasikal negara akan turun menyertai acara pecut berpasukan dibarisi Muhammad Edrus Md Yunos dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom selain Jupha Somnet dalam acara perlumbaan mata dan scratch.


Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment