Tuesday, October 22, 2013

‘Apa tugas Razif?’

Kuala Lumpur: Apa tugasan Razif Sidek hingga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengarahkannya mengiringi pemain ke Denmark dan Perancis, sedangkan beliau sekadar penilai bebas, demikian persoalan ditimbulkan Jalani Sidek keliru dengan tindak tanduk badan induk badminton Malaysia itu.

Jalani, pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona, 1992 bersama abangnya Razif berkata, beliau bukan mempersoalkan kredibiliti Razif sebaliknya tindakan Mahaleel yang menghantar bekas gandingannya ke Eropah.


“Sememangnya Razif orang paling layak mengiringi pemain untuk menilai dan meninjau prestasi, namun sekarang Razif adalah penilai bebas. Itu adalah di luar bidang kuasanya dan apa sebenarnya tujuan Mahaleel mengarahkan Razif ke sana,” kata Jalani yang mengunjungi pejabat BAM di Bukit Kiara, menyelesaikan masalah pendaftaran pemain Nusa Mahsuri.

“Apabila kita sebut mengenai penilai bebas, beliau mesti membuat laporan terus kepada presiden, tapi beliau ke Denmark dan Perancis atas tugasan apa? Saya bertanyakan juga pejabat BAM, mengapa Razif ke sana tapi mereka katakan itu urusan Mahaleel.
FotoRAZIF (kanan) hanya penilai bebas.

“Adakah Razif sekarang dilantik sebagai pengganti sementara Tan Aik Mong atau pekerja separuh masa? Beliau ke sana, adakah jurulatih mahu dengar cakapnya? Kuasa siapa yang dibawanya ke sana?

“Biasanya seorang pengurus akan mengiringi pemain dan jurulatih ke luar negara, adakah Razif sekarang dilantik sebagai pengurus?

“Razif dibawa masuk Aik Mong tapi kini, Aik Mong sudah tiada. Sekarang dia di bawah Mahaleel, tapi dia dijadikan sebagai apa?”

Apa yang dipersoalkan Jalani ada benarnya kerana sejak Aik Mong meninggalkan tugasannya, Mahaleel tidak pernah mengumumkan Razif memegang jawatan baru kecuali penilai bebas.

Malah, Jalani sebelum ini juga menegaskan beliau tidak dibenarkan presiden itu mengganggu dan mengarah jurulatih atau pemain, termasuk tidak boleh memaksa jurulatih mengikut program yang dirancangnya.

Sementara itu, Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan Siri Super Perdana Terbuka Denmark yang dimenangi tahun lalu apabila tunduk kepada pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China 22-24, 19-21.


Oleh Mohd Hilmie Hussin, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment