Thursday, September 05, 2013

Zamri digantung dua tahun

Zamri hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam yang membincangkan dakwaan yang dihadapinya.

PETALING JAYA - Pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli digantung dua tahun daripada kegiatan bola sepak selepas sampel air kencingnya pada perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun lalu, didapati positif mengandungi bahan terlarang, metamphetamine oleh sebuah makmal di India.
Dia bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman maksimum digantung seumur hidup atau minimumnya, enam bulan yang tidak boleh dirayu biarpun Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Razak berkata, penyalahgunaan dadah merupakan satu kes yang serius.

"Bahan yang diambilnya, diklasifikasikan makmal di India itu sebagai terlarang pada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan WADA (Agensi Antidoping Dunia). Tiada denda dikenakan ke atasnya dan dia boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM dalam tempoh 14 hari mengikut tarikh kuat kuasa hukuman yang ditetapkan dalam surat kepadanya.

"Kami sudah memberi masa, ruang dan peluang kepada pemain ini dan wakil KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) untuk membelanya. Kami juga sudah menimbang daripada aspek umur, keluarga dan latar belakangnya tetapi kami tidak mahu perkara ini menular dan menjadi ikutan kepada pemain sedia ada dalam Liga M atau bakal pemain dari peringkat sekolah," kata Taufik.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, menambah, soal sama ada hukuman itu akan dikekalkan, dikurangkan atau dibatalkan, terpulang kepada Jawatankuasa Rayuan persatuan sekiranya Zamri masih mahu menjalani proses terakhir bagi menyelamatkan kariernya itu.

Kata Taufik, pemain Kuala Lumpur, Hafizie Roslee pula digantung enam bulan daripada sebarang kegiatan bola sepak dan didenda RM2,000 selepas didapati tidak mempunyai semangat kesukanan bermain ketika perlawanan Liga Perdana menentang Sime Darby di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu.

"Amaran keras juga diberikan kepadanya jika dia berpeluang bermain semula dengan mana-mana pasukan selepas penggantungan ini, supaya tidak mengulangi kelakuan tidak bersemangat kesukanan itu dan jika denda itu tidak dibayar, namanya turut akan disenaraihitamkan.

"Kami mengkaji rakaman video dan mendapatinya melanggar pertuduhan Perkara 35.1 Kod Tatatertib Edisi 2012 FAM dan dihukum mengikut Perkara 56.2 kod sama yang hukuman maksimumnya, didenda RM25,000. Dalam pembelaan, dia mengatakan telah dicabar seorang pemain Sime Darby sedangkan dalam video, tiada.

"Dia (sepatutnya) boleh menggelecek bola naik dan mengeluarkan bola dari kawasan sendiri (namun) menendangnya ke belakang, seolah-olah memberikan kepada pemain Sime Darby. Hukuman ke atasnya tidak boleh dirayu," katanya sambil enggan mengulas sama ada tindakan itu berkaitan dengan mengatur keputusan perlawanan.

Sementara itu, kata Taufik, Johor Darul Takzim pula didenda RM40,000 atas pembakaran suar yang begitu banyak oleh penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru sehingga mengancam keselamatan orang ramai selain gagal menyediakan anggota keselamatan ketika menentang Selangor dalam Liga Super, 6 Julai lalu.

"Johor Darul Takzim mengaku bersalah atas pertuduhan kali ketiga dalam satu perlawanan itu dan hukuman ini masih boleh dirayu kerana denda maksimumnya ialah RM100,000 dan jika diulangi pada perlawanan selepas ini, boleh membawa hukuman diarah bermain di stadium itu tanpa penonton," katanya.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment