Friday, September 20, 2013

Wong Sasar Tiga Pingat Pada Penampilan Sulung Sukan Perpaduan Islam

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Walaupun bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Perpaduan Islam ketiga di Palembang, Indonesia minggu depan, atlet pelapis wushu kebangsaan Wong Weng Son menyasarkan untuk meraih tiga pingat pada temasya itu.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu yang bakal beraksi dalam tiga disiplin berkata keyakinan beliau meraih pingat pada temasya sukan terbesar melibatkan 43 negara Islam dari 22 Sept hingga 1 Okt depan adalah berdasarkan latihan giat sejak beberapa tahun lepas di bawah bimbingan jurulatih Lim Yew Fai.

"Saya menyasarkan untuk meraih pingat dalam tiga disiplin wushu saya sertai iaitu Changquan, Jianshu dan Qiangshu.

"Walaupun jurulatih tidak meletakkan sebarang tekanan kepada saya untuk meraih pingat, saya mahu membuktikan kemampuan diri bersaing di peringkat antarabangsa buat kali pertama," katanya kepada Bernama Khamis.

Mengenai cabaran bersaing dengan atlet ternama dunia pada temasya itu, Wong yang merupakan penuntut sebuah kolej swasta di ibu negara berkata beliau bertekad mempamerkan aksi terbaik bagi mengharumkan nama negara.

"Saya sedar cabaran yang bakal diterima begitu sengit berbanding kejohanan tempatan yang saya sertai sebelum ini tetapi yang penting bagi saya ialah memberikan fokus kepada setiap lawan yang saya hadapi nanti," katanya.

Pada masa sama, Wong menyasarkan untuk menempatkan diri dalam skuad elit kebangsaan tahun depan selepas hampir empat tahun berada dalam skuad pelapis sejak 2009.

"Sebelum ini, peluang saya untuk membarisi skuad elit agak sukar memandangkan sudah banyak atlet, namun jika saya berada dalam skuad elit, ia akan mencerahkan peluang saya untuk beraksi dalam lebih banyak kejohanan peringkat antarabangsa," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik beliau ialah meraih satu pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang menerusi acara Changquan lelaki.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment