Friday, September 20, 2013

‘Wang bukan soalnya’


Kuala Lumpur: Wang bukanlah penghalang buat FAM kerana badan induk itu sudah bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan jurulatih bertaraf dunia menggantikan Datuk K Rajagobal.
Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, asalkan saja langkah itu membuahkan hasil dan mampu meningkat mutu bola sepak negara, berbelanja besar bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan.

“Saya kira calon yang dipilih itu perlu sesuai dengan apa yang kita laburkan. Kalau pihak jawatankuasa fikirkan elok untuk bola sepak negara, saya tidak nampak perkara itu mustahil.

“Kalau itu (perbelanjaan besar) membolehkan kita membawa pasukan kebangsaan lebih maju daripada sekarang, saya rasa kita perlu berikhtiar untuk mendapatkan kewangan dalam usaha membawa jurulatih berwibawa,” katanya.

Foto

Jelas Hamidin, FAM juga sependapat dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersetuju agar badan induk itu mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan jurulatih terbaik.

“Sudah tentu pelaburan daripada segi kewangan memainkan peranan kerana bola sepak masa kini membabitkan kos yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut Hamidin berkata, sehingga kini FAM terus menerima permohonan daripada calon-calon berkelayakan menggantikan Rajagobal yang tidak disambung kontrak selepas 31 Disember.

Hamidin juga seolah-olah memberi bayangan hampir pasti akan menggaji jurulatih berkaliber.

“Calon-calon yang disebut di surat khabar adalah antara yang mengemukakan permohonan. Kebanyakan jurulatih (yang memohon) adalah dari luar negara,” katanya.

Pun begitu, Hamidin menegaskan, pihaknya tidak akan mengetepikan permohonan calon tempatan berjumlah kira-kira 10 peratus.

Antara nama besar yang dikaitkan sebelum ini adalah bekas penolong jurulatih kelab Liverpool Alex Miller dan legenda bola sepak Jerman Rudi Voller.

Tidak ketinggalan juga Philippe Troussier yang dikatakan hanya bersedia menerima jawatan itu andai tawaran pendapatan tahunan bernilai AS$1.52 juta (RM5 juta) atau dianggar memperoleh gaji bulanan AS$126,805 (RM416,000).

Sementara itu Norhafiz Zamani Misbah yang pernah beraksi bersama dua pengendali asing iaitu Allan Harris dan Bertalan Bicskei berkata, banyak perbezaan antara pengendali asing dan tempatan.

“Jurulatih tempatan mungkin mengenali satu-satu pemain itu sejak usia remaja manakala jurulatih asing tidak pilih kasih dalam memilih pemain berdasarkan prestasi semasa,” katanya.


Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment