Friday, September 06, 2013

Velodrom Tertutup Akan Di Bina Di Nilai, Kata Khairy

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan tetap membina sebuah velodrom tertutup kelas satu di Nilai, Negeri Sembilan, dan tender mengenainya telahpun dikeluarkan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata velodrom itu akan siap dibina dalam tempoh empat tahun akan digunakan untuk temasya Sukan SEA 2017, sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah sukan dwitahunan itu.

"Ini adalah keputusan muktamad kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Milo Menyemarakkan Kejaguhan Atlet Malaysia Sukan SEA ke-27 oleh Nestle Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil dekat sini, Khamis.

Sebelum ini, semasa pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 Sept tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan RM80 juta untuk pembinaan velodrom tertutup berkenaan.

Mengenai hasrat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina sebuah velodrom kelas satu di Cheras, Khairy berkata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah bersetuju supaya peruntukan untuk veldorom itu digunakan untuk projek lain.

Sebelum ini, DBKL telah menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah velodrom tertutup kelas satu bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur yang akan dirobohkan bagi memberi laluan untuk pembinaan projek komersil.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan kerajaan itu.

"Kita perlu ada sebuah velodrom tertutup kelas satu di Malaysia. Keputusan itu amat mengembirakan kita kerana usaha kita (PKBM) untuk mempunyai satu velodrom tertutup kelas satu itu tercapai.

"Dengan adanya velodrom seumpama itu, diharapkan lebih ramai anak-anak muda yang akan mengikuti jejak Josiah Ng, Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan lain-lain lagi yang akan muncul selaku juara bukan sahaja di peringkat benua tetapi juga di peringkat Sukan Komanwel, kejohanan dunia serta Sukan Olimpik," katanya.

Mengenai tempat di mana velodrom itu akan dibina, Naim berkata ia bukanlah suatu masalah besar.

"Apa yang penting, kita perlu mempunyai sebuah velodrom tertutup kelas satu. Dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan itu, sudah terjamin kita akan mempunyai sebuah velodrom tertutup kelas satu untuk digunakan," katanya.

Menyentuh mengenai status Velodrom Kuala Lumpur, Naim berkata sekiranya DBKL telah menjual tanah tapak velodrom itu kepada pihak pemaju dan terpaksa dirobohkan adalah menjadi mandatori kepada DBKL membina sebuah velodrom baharu.

"Jika sesuatu pihak itu telah merobohkan gelanggang yang sedia ada dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menggantikannya," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment