Thursday, September 12, 2013

Usah keruhkan lagi kemelut sepak takraw


Kuala Lumpur: “Usah keruhkan lagi keadaan.” Demikian pandangan bekas apit kiri kebangsaan Rosli Abd Rahman ketika diminta berkongsi pandangan mengenai kemelut membabitkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas jurulatih skuad negara itu berkata, baik Ahmad mahupun Khairy perlu duduk semeja membincangkan mengenai masalah dihadapi sekali gus cuba mencari jalan penyelesaian terbaik yang menghasilkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tapi apa yang boleh saya katakan ialah hentikanlah semua ini.
“Jangan panjangkan lagi perkara ini. Saya percaya ada kaedah lebih baik untuk selesaikan masalah, sesuai dengan budaya sukan tradisional sepak takraw. Untuk pemain pula, tidak perlu masuk campur, sebaliknya terus kekal fokus pada sesi latihan dan pertandingan sebenar,” katanya.

Ahmad menerusi laporan Arena Metro semalam melabel Khairy biadab kerana sering membidas badan induk sukan itu sejak kebelakangan ini susulan kemerosotan prestasi di pentas antarabangsa.

Ahmad berang selepas Khairy dilapor mahu menyekat peruntukan kepada PSM susulan kekalahan skuad negara kepada Korea Selatan di final Siri Super ISTAF India, baru-baru ini.
Antara yang berada dalam pertimbangan Khairy ialah untuk menyekat peruntukan RM1 juta setahun yang disalurkan kepada PSM.

Khairy juga dilapor mahu menghentikan rancangan badan induk itu yang berhasrat bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha mereka membentangkan program bernilai RM8.8 juta.



Oleh Saiful Affendy Sapran, ARENA Harian Metro

No comments:

Post a Comment