Wednesday, September 18, 2013

Ujian mental sebelum ke Myanmar

Ong Kim Swee (kanan) memantau latihan skuad Harimau Muda di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/ RUSHDI SALLEH 
 
PETALING JAYA - Belum sempat para pemain Harimau Muda berehat selepas menjuarai Pestabola Merdeka pada Sabtu lalu, mereka bakal terbang ke Bandung, Indonesia hari ini bagi menyertai Piala Menpora dari 20 hingga 29 September ini.

Walaupun situasinya mungkin berbeza daripada kejohanan Pestabola yang lalu kerana Harimau Muda kehilangan sembilan pemain utama yang telah kembali ke pasukan masing-masing, jurulatih, Ong Kim Swee tetap melihat Piala Menpora sebagai medan terbaik menguji karektor para pemain.
Tambahan, berdepan provokasi dan ejekan para penyokong di Indonesia, pengalaman itu dilihat mampu membantu menguatkan mental para pemain sebelum mereka dijangka berdepan situasi yang hampir serupa di Myanmar, Disember nanti.

''Kejohanan ini pasti berbeza dengan Pestabola Merdeka kerana kita tidak akan lagi diiringi oleh sokongan penyokong sendiri sebaliknya akan berdepan para penyokong Indonesia yang kita sendiri tahu cara mereka terhadap kita.

''Saya harap stadium nanti akan dipenuhi oleh penyokong lawan, biarlah kita dicaci sekali pun kerana selepas ini apabila kita di Myanmar, kita akan berdepan situasi yang sama.
''Biarlah pengalaman di sana boleh membantu kematangan pemain-pemain sebelum kita berdepan ujian sebenar di Sukan SEA.

''Kita akan membawa Ketua Keselamatan FAM, Dali Wahid juga akan dibawa bersama ke sana bagi memastikan keselamatan kami sepanjang kejohanan selain empat atau lima pengawai yang disediakan oleh pihak penganjur," katanya ketika ditemui di Wisma FAM,semalam.

Harimau Muda diundi di dalam Kumpulan A bersama dua kelab Liga Super Indonesia (ISL), Sriwijaya dan Persib Bandung serta kelab Liga Australia, Central Coast Mariners.
Persib akan menjadi lawan sulung kepada Harimau Muda pada 20 September diikuti Central Coast Mariners dua hari kemudian dan 24 September berdepan Sriwijaya.

Hanya juara kumpulan akan layak ke perlawanan akhir dan akan bertemu sama ada Arema Cronous, Loyola Meralco Sparks FC (Filipina), Mitra Kukar dan Persepam Madura di Malang.
Dalam senarai 18 pemain yang akan dibawa ke Bandung, Kim Swee menyenaraikan tiga penjaga gol termasuk Mohd. Farhan Abu Bakar dan Mohd. Firdaus Muhamad selain Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Syahid Zaidon yang baru pulih daripada kecederaan.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjuarai kejohanan, Kim Swee mengakui dia akan mahu memberikan ruang kepada pemain-pemain yang tidak diberi kesempatan beraksi di Pestabola Merdeka untuk membuktikan potensi mereka.

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment