Tuesday, September 17, 2013

Tolong jangan ganggu!

MENJUARAI Pestabola Merdeka memberi momentum baik buat Harimau Muda untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini. 
 
KUALA LUMPUR - Kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas menumpaskan Myanmar 2-0, Sabtu lalu memberi momentum sempurna skuad Harimau Muda dalam persiapan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Begitupun, momentum positif anak-anak buah Ong Kim Swee itu mampu dirosakkan oleh komuniti bola sepak tempatan sendiri.

Sikap galak beberapa pasukan Liga Malaysia untuk memancing bintang muda negara hingga sanggup menawarkan imbuhan lumayan mampu menjadi 'perosak' yang paling membimbangkan.
Jika mengikut umur, kebanyakan pemain masih berada di bawah 23 tahun pada 2014, dan sewajarnya mereka perlu terus bersama Harimau Muda kerana banyak pendedahan antarabangsa yang boleh diperoleh berbanding bermain dalam Liga Malaysia.

Jika sebelum ini tiada siapa yang berani mengganggu pemain-pemain Harimau Muda, kelak dibimbangi apabila sudah ada satu atau dua pasukan yang berani melamar pemain, langkah ini akan diikuti oleh pasukan lain.

Sepatutnya pasukan atau kelab yang ingin berbuat demikian perlu menghormati serta faham kepentingan Harimau Muda yang membawa nama negara dan bukan bersikap mementingkan diri sendiri.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memastikan isu ini diselesaikan secepat mungkin agar ia tidak merebak seperti virus yang boleh menjejaskan mood dan motivasi wira-wira muda negara.
Nama-nama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Rozaimi Abdul Rahman, Junior Eldstal dan Mohd.Irfan Fazail antara yang menjadi dendangan peminat selepas kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang kempen Pestabola Merdeka.

Empat kemenangan daripada empat perlawanan cukup menggambarkan yang anak-anak buah Kim Swee menunjukkan peningkatan ketara melalui ilmu dan pendedahan selama lima bulan di bumi Eropah.

Aksi penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi cukup memukau sehingga ada yang berani meramalkan dia mampu menjadi lebih hebat daripada Khairul Fahmi Che Mat suatu hari nanti selepas hanya bolos satu gol dalam empat perlawanan.

Kelebihan dan ketangkasan daripada segi fizikal yang ada pada Junior dapat dimanfaatkan oleh Kim Swee di bahagian tengah dan bukannya dijadikan bahan eksperimen mengarut seperti mana dilakukan oleh Datuk K.Rajagobal apabila meletakkan pemain dari Sarawak itu di bahagian pertahanan.

D. Saarvindran dan Syahrul Azwari merupakan dua permata baru di posisi sayap, manakala Wan Zack Haikal mempamer kematangan menakjubkan selepas beraksi bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu.

Kekentalan pertahanan yang diketuai oleh Mohd. Fadhli Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim banyak membantu kejayaan Harimau Muda dengan tidak banyak percubaan ke arah gol dapat dilepaskan oleh pihak lawan.

Siapa yang boleh menyangka walaupun Kim Swee menurunkan sebahagian besar muka baru ketika bertemu Thailand dalam perlawanan terakhir kumpulan, mereka mampu memberi persembahan bertenaga untuk menang 3-0.

Jangan dilupakan, sebenarnya masih ada ramai pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan kerana kecederaan seperti Ahmad Hazwan Bakri, Mohd.Fandi Othman, Izzaq Faris Ramlan dan Gary Steven Robbat.

Apa pun, kejuaraan ini tidak wajar membuatkan Harimau Muda bermegah kerana sasaran sebenar adalah memenangi pingat emas hatrik di Sukan SEA Myanmar.

Singapura, Thailand dan Myanmar pasti kembali dengan aksi lebih bahaya, manakala Indonesia dan Vietnam adalah cabaran tambahan yang perlu dihadapi.

No comments:

Post a Comment