Wednesday, September 18, 2013

Tiada alasan Harimau gagal


Kuala Lumpur: Tiada alasan buat jurulatih negara Datuk K Rajagobal gagal mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2015 kerana FAM sudah menjanjikan pemain terbaik bersama Harimau Malaya mengharungi baki saingan kelayakan Piala Asia 2015 yang kembali bersambung pertengahan bulan depan.

Walaupun skuad bawah 23 tahun negara kendalian Ong Kim Swee turut mempunyai misi penting mencipta hatrik pingat emas di Sukan SEA Myanmar, keutamaan tetap diberikan kepada skuad senior.

“Saya memahami situasi ini, skuad negara perlu membuat persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 dengan skuad Kim Swee juga perlu membentuk kombinasi mantap menghadapi Sukan SEA.

“Saya ada berbincang dengan Kim Swee mengenai hasratnya menjalani beberapa perlawanan ujian di Jepun atau negara Timur Tengah sebelum ke Myanmar dan seboleh-bolehnya biarlah tugasan skuad kebangsaan diselesaikan terlebih dulu,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Rajagobal yang kontraknya tamat pada Disember akan menyambung kembali misi layak ke pusingan akhir Piala Asia menentang Bahrain pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam disusuli tempat lawan 15 November selain aksi menentang Qatar pada 19 November.

“Tidak guna jika kita menghantar skuad bawah 23 tahun negara ke luar negara dengan belanja besar tanpa skuad lengkap kerana pada masa sama misi skuad negara juga mustahak.

FotoRAJAGOBAL (tengah) perlu bawa anak buah layak Piala Asia 2015.
“Jika Kim Swee pergi awal, sebahagian besar pemain utamanya tidak akan dapat ikut sama sekali gus tidak menepati matlamat asal. Kalau boleh kita mahukan skuad lengkap seperti di saingan Pestabola Merdeka minggu lalu,” tambah Hamidin.

Terdapat beberapa pemain negara kini menjadi tonggak kedua-dua pasukan negara itu seperti Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohd Fadhli Shas, Nik Shahrul Azim Ab Halim, Zubir Azmi, Junior Eldstal dan Mohd Nazmi Faiz Mansor.

Skuad kendalian Kim Swee dijangka mengadakan beberapa aksi persahabatan di Kuala Lumpur selepas saingan Piala Menpora di Indonesia.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment