Thursday, September 12, 2013

'Tak praktikal ada dua velodrom'

PEMBINAAN dua velodrom tertutup kelas satu di Malaysia ketika ini dianggap sesuatu yang tidak praktikal.
Itu pandangan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang menjelaskan, hanya satu velodrom bertaraf dunia diperlukan bagi perkembangan sukan trek berbasikal negara.

Justeru, Zolkples menyifatkan bahawa pembinaan dua velodrom bertaraf dunia dalam suatu masa adalah sesuatu yang merugikan daripada segi kos pembinaan.
“Seperti yang kita tahu Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) telah menegaskan hanya satu velodrom kelas satu akan dibina di Malaysia.

“Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Cukuplah kalau kita ada satu sahaja velodrom tertutup, tidak perlu membina velodrom kedua di Kuala Lumpur, sebab ia akan merugikan wang rakyat,” kata Zolkples kepada Kosmo! semalam.

Minggu lalu, Khairy mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan pembinaan velodrom tertutup berharga RM80 juta di lokasi asal di Nilai, Negeri Sembilan seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2013.

Khairy turut menjelaskan bahawa tender pembinaan telah dikeluarkan dan velodrom itu dijangka siap sepenuhnya pada 2017.
Begitupun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga dilapor mahu meneruskan rancangan membina satu lagi velodrom di lokasi yang lebih strategik di Kompleks Sukan DBKL di Cheras, bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur yang bakal dirobohkan.

Situasi itu bakal menyaksikan dua projek mega velodrom berkelas satu akan dibina dalam jarak hampir 50 kilometer di antara satu sama lain.

“Ia sesuatu yang tidak praktikal kerana kalau DBKL membina satu lagi velodrom di pusat bandar, jarak di antara dua velodrom ini boleh dikatakan agak dekat,” jelas Zolkples.
“Lainlah kalau DBKL mahu membina satu velodrom asas atau satu kompleks sukan yang lengkap, maka ia cerita lain.

“Menteri (Khairy) juga ada mengatakan bahawa (Menteri Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Tengku Adnan (Tengku Mansor) telah bersetuju membatalkan projek tersebut dan akan menyalurkan kos tersebut kepada projek lain.

“Jadi saya rasa Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Ahmad Phesal Talib) harus meneliti semula perancangan mereka itu,” tambahnya lagi.

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment