Monday, September 23, 2013

Sukan Perpaduan Islam Dirasmikan Dengan Persembahan Warna Warni


PALEMBANG, 22 Sept (Bernama) -- Upacara perasmian pembukaan Temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga di Stadium Jakabaring berlangsung meriah dan penuh warna-warni Ahad.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono merasmikan temasya yang akan berlangsung selama 11 hari itu yang berjaya menarik penyertaan 44 negara di kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Majlis perasmian bermula pada pukul 6.15 petang dengan persembahan kumpulan muzik tradisional tempatan serta pertunjukan warna-warni oleh beberapa kumpulan pancaragam dari sekolah-sekolah tempatan.

Ia diikuti persembahan lagu tema kejohanan bertajuk 'One World' oleh artis kumpulan Warna.

Acara perbarisan masuk pasukan yang mengambil bahagian mengikut susunan abjad negara masing-masing.

Kontinjen Malaysia seramai 80 orang termasuk atlet dan pegawai diketuai Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan pembawa Jalur Gemilang Mohd Hatta Mahamut yang merupakan atlet karate negara turut mengambil bahagian dalam perbarisan yang disaksikan kira-kira 36,000 penonton di stadium utama itu.

Upacara dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api sebagai simbol bermula secara rasmi Temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga.

Malaysia menghantar 136 atlet dan menyertai 10 daripada 13 acara sukan yang dipertandingkan iaitu renang, olahraga, badminton, bola tampar pantai, karate, taekwondo, tenis, angkat berat, memanah dan wushu.

Pada edisi pertama di Arab Saudi pada 2005, Malaysia menduduki tempat ketujuh daripada 57 negara di kalangan negara-negara OIC setelah berjaya meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa.

Sukan Perpaduan Islam edisi kedua di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment