Wednesday, September 25, 2013

Skuad Renang Lengkapan Sasaran Tiga Pingat Emas Sukan Perpaduan Islam


PALEMBANG, 24 Sept (Bernama) -- Atlet renang kebangsaan Yap See Tuan dan Yap Siew Hui melengkapkan sasaran tiga pingat emas negara pada hari kedua temasya Sukan Perpaduan Islam selepas masing-masing menyumbang satu pingat emas di Pusat Akuatik Jakabaring di sini Selasa.

Malaysia sebelum ini meletakkan sasaran tiga pingat emas iaitu dua menerusi sukan renang dan satu daripada sukan karate. Pingat emas pertama negara disumbangkan atlet skuad karate negara Lim Chee Wei dalam acara Kata individu lelaki, semalam.

Yap See Tuan menjuarai acara 200 meter kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:18.16's dengan kelebihan satu saat di hadapan pemenang pingat perak, Mohamed Gadallh dari Mesir dengan catatan 2:20.17's.

Pingat gangsa bagi acara tersebut menjadi milik perenang Turki, Alpkan Ornek dengan catatan masa 2:20.89's.

Perenang kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata beliau merasa gembira dengan kejayaan hari ini dan menyifatkanya sebagai pengalaman berguna sebelum menghadapi Sukan SEA di Myanmar pada pertengahan Disember ini.

"Saya tidak sangka dapat sumbang pingat emas hari ini kerana pada mulanya saya hanya membuat sasaran pingat tanpa mengira warna namun segalanya berubah dengan baik hari ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berharap mampu menambah sebutir lagi pingat tanpa mengira warna pada 100m kuak dada lelaki esok.

Katanya selepas ini beliau akan meneruskan latihan bagi menghadapi Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini walaupun senarai akhir atlet renang belum dikeluarkan oleh persatuan.

"Saya harap nama saya akan tersenarai untuk ke Sukan SEA nanti," katanya.

Sementara itu, Yap Siew Hui meraih pingat emas menerusi acara 100 meter kuak kupu-kupu wanita dengan catatan masa 1:02.19's.

Pingat perak dan gangsa bagi acara tersebut menjadi milik perenang dari Turki, Esra Kubra Kacmaz dengan catatan masa 1:02.60s dan rakan sepasukan Ayse Yazici (1:04.02's).

Siew Hui berkata beliau tidak pernah terfikir untuk meraih pingat emas hari ini dan kejayaan tersebut adalah satu bonus buat dirinya.

"Saya rasa gembira kerana dapat menang hari ini dan harap dapat mengekalkan kejayaan yang sama di Myanmar nanti," katanya.

Skuad renang negara turut menyumbang dua pingat perak hari ini menerusi Khoo Cai Lin yang beraksi dalam acara 200m gaya bebas wanita dan Nadia Adriana Redza Goh menerusi acara 400 meter gaya bebas wanita.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment