Wednesday, September 18, 2013

Sedia gegar Paris


SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Mohd. Yazid Yahya (kiri) mengucapkan tahniah kepada Khairul sambil diperhatikan jurulatih, Lee Jae-hyung (kanan) di Bukit Jalil semalam.


SELEPAS mencuri tumpuan pada Sukan Olimpik 2012 di London, Khairul Anuar Mohammed sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemanah pertama Malaysia melayakkan diri pada pusingan akhir Piala Dunia 2013 di Perancis dari 21 dan 22 September ini.

Pemanah elit dari Terengganu itu akan bersaing dengan tujuh lagi pemain handalan dunia di Paris apabila meraih 25 mata selepas beraksi dalam tiga daripada empat peringkat Piala Dunia dalam acara recurve individu lelaki tahun ini.

"Saya memang tidak jangka dapat beraksi pada pusingan akhir kerana prestasi saya di Colombia agak kurang memuaskan.

"Apa-apa pun saya anggap ia rezeki untuk saya beraksi di sana (Paris). Saya dapat tahu berita ini ketika berada di Korea Selatan untuk mengikuti latihan bagi persiapan ke Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan Sukan SEA.

"Saya berasa gembira kerana ia merupakan salah satu daripada sasaran utama saya selepas Olimpik tahun lalu," kata Khairul pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Sebagai rekod, Khairul meraih tempat keempat pada peringkat pertama di Shanghai, China Mei lalu sebelum sekadar beraksi di suku akhir di Antalya, Turki (Jun) dan pusingan ketiga di Medellin, Colombia (Julai).

Ditanya mengenai sasaran pada saingan di Paris nanti, Khairul berkata, dia berharap untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok empat pemanah terbaik.

"Memang saya ada impian kalau boleh memang hendak memenangi pingat emas tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya kerana ia hanya akan menjejaskan konsentrasi saya ketika beraksi.
"Fokus saya biarlah diletakkan pada setiap perlawanan iaitu kemahiran saya sendiri untuk menghadapi tekanan dan mengurangkan kesilapan.

"Saya mahu meletakkan tumpuan saya 70 hingga 80 peratus ketika melakukan panahan, jadi sekurang-kurangnya biarlah layak ke separuh akhir," tambah Khairul yang akan menyambut ulang tahun ke-22 pada 22 September ini.

Khairul yang kini menghuni ranking ketujuh dunia akan menentang pemanah Korea Selatan, Lee Seungyun selaku pilihan kedua pada saingan pertama di Paris nanti.
Dengan format kalah mati, Khairul sudah pasti mahu bermula dengan langkah kanan bagi meneruskan misinya di Paris.

Enam lagi pemanah yang turut akan beraksi dalam kategori recurve individu lelaki ialah pemenang emas Olimpik London, Oh Jin-hyek dari Korea Selatan, Mauro Nespoli (Itali), Dai Xiaoxiang (China), Brady Ellison (Amerika Syarikat), Zhang Jianping (China) dan atlet tuan rumah, Gaei Prevost.

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment