Tuesday, September 10, 2013

Saya Hanya Puas Sekiranya Muncul Juara - Kim Swee

KUANTAN, 10 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee menegaskan beliau hanya akan berpuashati dengan aksi anak didiknya sekiranya mereka muncul juara Kejohanan Pestabola Merdeka 2013.

Katanya, kemenangan kedua menundukkan Myanmar 2-1 bukan menjadi kayu pengukur prestasi semasa yang ditunjukkan oleh pasukan negara bawah 23 tahun itu.

"Perkara yang lebih menggembirakan saya nanti ialah sekiranya kita berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar, Disember ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Menyentuh mengenai perlawanan itu, Kim Swee memuji semangat tidak berputus asa yang ditunjukkan anak didiknya walaupun mereka ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

"Kita mencipta peluang dengan banyak namun tidak berjaya menjaringkan gol...Sewaktu rehat, saya telah memberikan kata-kata semangat kerana kita perlu faham walaupun mereka masih muda dan bermain di peringkat tinggi, mereka memerlukan bimbingan," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Myanmar Tin Myint Aung berkata walaupun kalah tipis namun beliau berpuashati dengan prestasi pasukan itu.

Pemain hilang tumpuan selepas Malaysia menjaringkan gol penyamaan, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment