Tuesday, September 24, 2013

SAM Bawa Wakil Media Tinjau Persiapan Sukan Sea Myanmar

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) akan mengadakan lawatan kerja empat hari ke Yangon dan Nay Pyi Taw, Myanmar bagi meninjau persiapan temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara itu, mulai 11 hingga 22 Dis.

Rombongan seramai 35 orang, terdiri daripada anggota exco SAM, wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan wakil media, akan berangkat ke Myanmar, Rabu ini.

"Lawatan ini bertujuan untuk memberi maklumat awal kepada wakil-wakil media utama Malaysia berhubung persiapan Myanmar sebagai penganjur temasya Sukan SEA.

"Rombongan itu juga akan mendapat taklimat mengenai tahap keselamatan di negara itu serta lain-lain kemudahan seperti penginapan dan pengangkutan.

"Maklumat awal ini mungkin akan memudahkan tugasan wakil media Malaysia menjalankan tugasan semasa Sukan SEA nanti," kata presidennya, Ahmad Khawari Isa dalam sidang akhbar mengenai lawatan itu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Ahmad Khawari terdahulu menerima penajaan daripada MSN, Frenz United, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan MBNS Incorporation bagi tujuan lawatan tersebut.

Semasa di Myanmar, Ahmad Khawari berkata rombongan SAM akan dibawa melawat ke Stadium Wunna Theikdi dan Pusat Media Utama di Nay Pyi Taw dan mereka juga akan diberikan taklimat daripada wakil Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Myanmar.

Ketika berada di Yangon, mereka dijadual melawat pejabat Persatuan Bolasepak Myanmar dan menghadiri jamuan makan malam bersama Duta Besar Malaysia ke Myanmar Dr Ahmad Faisal Muhamad.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment