Thursday, September 12, 2013

Rombakan sistem kejurulatihan

KUMPULAN Pengurusan Bakat (TMG) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka melakukan perubahan besar-besaran dalam barisan kejurulatihan skuad negara dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam masa terdekat.

Keputusan itu dibuat selepas Pengarah TMG, Tan Aik Mong dan Penilai Bebas kumpulan itu, Razif Sidek mengadakan dua pertemuan berasingan membabitkan jurulatih negara dan SSBJ di pejabat BAM, Bukit Kiara sejak dua hari lalu.

Begitupun, Aik Mong yang difahamkan sudah memiliki senarai barisan jurulatih serta peranan masing-masing, enggan mendedahkannya lagi.
“Saya baru keluar dari SSBJ, saya agak penat dan mengenai penstrukturan ini biarlah esok (hari ini) sahaja,” kata Aik Mong.

Dalam proses penstrukturan baharu itu, jawatan ketua jurulatih perseorangan dan ketua jurulatih beregu yang sebelum ini diserahkan kepada Rashid Sidek dan Tan Kim Her akan dimansuhkan.
Terdapat spekulasi bahawa beberapa jurulatih skuad elit dan pelapis negara akan diturunkan pangkat untuk melatih skuad remaja di SSBJ, antaranya Rosman Abd. Razak, Chin Eei Hui, Wong Tat Meng, Woon Sze Mei serta Chong Kien Ling.

Hendrawan dan Mohd. Hazwan Jamaluddin yang melatih pemain-pemain pelapis perseorangan lelaki juga bakal dihantar ke SSBJ bagi menggilap bakat baharu.

Bagaimanapun, kedudukan Kim Her dianggap selamat apabila beliau akan menjadi pembantu Aik Mong dan berkemungkinan membantu bekas jaguh negara itu menguruskan program-program dalam pelan strategik TMG.

Lima jurulatih di SSBJ, Zhou Kejian, Rony Agustinus, Ng Mee Fen, Chang Kim Wai dan Wong Pei Tty pula bakal dinaikkan pangkat membimbing skuad elit negara.

Kejian dijangka menyertai Rashid dan Tey Seu Bock melatih pemain-pemain perseorangan lelaki.
Rony dan Mee Fen menggantikan tempat Tat Meng serta Sze Mei untuk perseorangan wanita.
Jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman pula akan dibantu Kim Wai yang turut dibawa bagi melatih skuad elit.

Bekas ratu beregu negara, Pei Tty bakal menggantikan tempat Rosman dan Eei Hui untuk memantapkan barisan pemain beregu wanita manakala Jeremy Gan kekal membimbing skuad beregu campuran.

Artikel Penuh: KOSMO

No comments:

Post a Comment