Wednesday, September 25, 2013

Rashid sedia kembali ke pangkuan BAM


RASHID mahu menilai dahulu perkembangan BAM sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.


JURULATIH negara, Rashid Sidek bersedia untuk mempertimbangkan kembali keputusannya selepas menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Khamis lalu.

Jurulatih berusia 45 tahun itu hadir ke Stadium Juara, Bukit Kiara semalam untuk bertemu dengan barisan jurulatih negara yang lain selepas mendapat berita perubahan yang dilakukan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Kelmarin, Tengku Mahaleel mengadakan pertemuan dengan jurulatih skuad elit dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi menerangkan pelan strategi BAM, sekali gus melakukan rombakan yang dilakukan oleh Pengarah Pengurusan Bakat (TMG), Tan Aik Mong dan Penilai Bebas yang juga abangnya, Razif.

Rashid yang telah mendapat penjelasan daripada jurulatih-jurulatih skuad senior berkata, beliau percaya perubahan yang dilakukan itu tampak lebih positif.

“Saya nampak ada perubahan positif. Saya tengok tadi (semalam) semua jurulatih nampak gembira. Ia satu perkembangan yang baik untuk sukan badminton supaya sasaran kami untuk menaikkan standard pemain-pemain negara akan berhasil.

“Matlamat akan tercapai dan ada fokus yang jelas,” kata Rashid ketika ditemui pemberita semalam.
Begitupun, ditanya sama ada beliau mungkin akan membuat ‘Pusingan U’ dan kembali menyertai BAM, Rashid berkata, beliau masih belum memikirkannya.

“Saya mahu tengok dahulu perkembangannya, memang sebab utama saya meletak jawatan kerana tidak selesa dengan cara kerja ketika itu dan itulah keputusannya bukan hendak mencari masalah.
“Saya juga tidak pernah melakukan serangan peribadi terhadap Presiden. Niat saya bekerja selama ini pun ikhlas untuk membantu skuad negara, bantu untuk menaikkan lagi sukan badminton, itu sahaja,” ujar Rashid.

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment