Monday, September 30, 2013

Rashid kembali


 Kuala Lumpur: Rashid Sidek (gambar) kembali menyertai pasukan kebangsaan esok.
Teka-teki mengenai keputusan yang bakal diambil jurulatih kebangsaan Rashid Sidek yang meletak jawatan 10 hari lalu, sama ada kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau sebaliknya, kini terjawab.


Rashid mengesahkan beliau akan kembali menyertai barisan kejurulatihan BAM, namun selepas mengikut prosedur yang diminta Presiden, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

“Esok (hari ini) saya akan ke pejabat BAM, menghantar surat yang diminta presiden, menulis saya mahu kembali melatih pemain kebangsaan, tapi saya tidak akan terus bekerja esok (hari ini),” kata Rashid ketika dihubungi.

“Apapun saya akan memulakan kerja minggu ini, paling awal Selasa (esok).”

Sambil mengakui apa yang berlaku sebelum ini perlu segera dilupakan, Rashid berkata, beliau amat menghormati keputusan Tengku Mahaleel yang sedia menerimanya semula.

“Cukup-cukuplah bangkitkan isu ini, semuanya sudah pulih dan reda. Saya sedar saya perlu segera kembali untuk membantu skuad negara dan menjayakan program yang dirancang kepimpinan baru.

“Selagi Datuk Lee Chong Wei belum berjaya menjuarai Kejohanan Dunia dan Sukan Asia, saya akan turut sama membantunya, begitu juga dengan pemain lain,” kata Rashid, menyatakan komitmennya untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

Sememangnya tiada sebab untuk Rashid terus membawa diri kerana alasannya meletak jawatan sebelum ini, disebabkan tidak mampu mengikut program yang tidak dipersetujuinya serta berasa tidak boleh bekerja bersama dengan Tan Aik Mong (bekas Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat-TMG).

Malah Tengku Mahaleel sendiri enggan menerima peletakan jawatan beliau, sekali gus membuka seluas-luas peluang untuknya kembali membantu meningkatkan mutu badminton negara.



 Oleh Mohd Hilmie Hussin, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment