Monday, September 23, 2013

Piala Menpora: Harimau Muda A Alami Kekalahan Pertama

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Skuad Harimau Muda A nyata bukan tandingan juara Liga Australia (A-League) 2012, Central Coast Mariners selepas kalah 0-2 pada aksi kedua kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Jemputan Piala Menpora di Stadium Jalak Harupat, Bandung, Ahad.

Dua gol pasukan lawan dijaringkan Matthew Simons pada minit ke-43 dan Mitchell Duke pada minit ke-88.

Harimau Muda A yang turut dikenali sebagai pasukan Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan sebelum ini mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang kelab Liga Super Indonesia (ISL), Persib Bandung, ketika aksi pembukaan pada Jumaat.

Skuad kendalian Ong Kim Swee itu dijadual menentang satu lagi wakil ISL, Sriwijaya FC pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Selasa ini di venue sama.

Aksi kumpulan B diadakan di Stadium Kanjuruhan, Malang melibatkan empat pasukan; tiga wakil daripada ISL iaitu Arema Malang, Mitra Kukar dan Persepam Madura United selain Loyola Meralco Sparks dari Filipina.

Berdasarkan format kejohanan, hanya juara daripada setiap kumpulan layak ke final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Kanjuruhan, Malang pada 29 Sept.

Sementara itu, Kim Swee menerusi laman Twitternya, berkata kehilangan fokus pada setiap penghujung separuh masa menjadi punca kekalahan pasukan negara.

Beliau bagaimanapun memberikan pujian kepada keseluruhan anak didiknya yang berusaha menyaingi wakil kelab Australia itu yang lebih hebat dari segi taktikal serta berpengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa.

"Gagal mengeluarkan bola dari bahagian pertahanan dan kepantasan lawan menutup ruang di bahagian tengah merupakan aspek yang perlu diperbaiki," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment