Thursday, September 05, 2013

Pemain Kelantan Digantung Dua Tahun Kerana Ambil Dadah Terlarang

PETALING JAYA, 4 Sept (Bernama) -- Pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah mengambil dadah terlarang dalam perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata pemain berusia 23 tahun itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine pada ujian anti-doping sampel A.

"Keputusan ujian makmal ke sampel A di India didapati positif dan dadah tersebut adalah bahan larangan di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA)," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu mengambil kira faktor umur dan latar belakang keluarga pemain itu sebelum mengenakan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, Zamri dibenarkan membuat rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh 14 hari.

Taufik berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Dalam perlawanan akhir itu, Kelantan mengalahkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dekat sini.

Dalam kes lain, Johor DT didenda RM40,000 kerana gagal menyediakan tahap keselamatan yang mencukupi pada perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 6 Julai lepas.

Taufik berkata Johor DT mengaki bersalah atas tiga tuduhan iaitu membaling resit putih ke dalam padang, membakar suar dalam jumlah yang banyak selain gagal menghalang kemasukan barang larangan seperti mercun dan suar ke dalam stadium.

"Mereka bagaimanapun boleh membuat rayuan daripada tarikh surat hukuman yang dihantar kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Taufik berkata pemain pertahanan Kuala Lumpur, Hafizie Roslee digantung enam bulan dan didenda sebanyak RM2,000 kerana melanggar Perkara 35.1 Kod Tatatertib FAM Edisi 2012 iaitu tidak mempamerkan semangat kesukanan sebenar.

Katanya, pemain berkenaan melakukan kesalahan tersebut ketika perlawanan Liga Perdana pada 17 Mei lepas antara Kuala Lumpur dan Sime Darby FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang menyaksikan pasukan lawan menang selesa 5-0.

"Beliau (Hafiziee) dengan sengaja memberikan peluang kepada pemain lawan untuk menjaringkan gol...Walaupun beliau mengaku tidak bersalah namun berdasarkan rakaman video klip perlawanan itu, beliau memang melakukan kesalahan," kata Taufik.

Katanya pemain berkenaan akan disenaraihitam oleh FAM sekiranya gagal menjelaskan denda sepanjang menjalani tempoh penggantungan selama enam bulan.

Katanya, hukuman berkenaan yang pertama kali dikenakan bertujuan memberi peringatan kepada pemain supaya mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi kerana mereka dibayar gaji oleh majikan masing-masing.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment