Tuesday, September 17, 2013

Peluang Chong Wei cerah



CHONG WEI akan bertemu Jen Hao pada pusingan pertama Terbuka Jepun 2013 esok.



ATAS kertas, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berpeluang untuk mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun 2013 seperti yang diraihnya tahun lalu.
Chong Wei mendapat laluan yang agak mudah selaku pemain pilihan pertama kejohanan apabila diundi bersama-sama pemain yang tidak berada dalam kelompok lapan pilihan terbaik pada aksi pembukaan esok dan pusingan kedua (19 September).

Chong Wei yang akan menghadapi pusingan pertama esok akan bertemu pemain Taiwan, Hsu Jen Hao sebelum menentang R. M. V. Gurusaidutt (India) atau Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) pada pusingan kedua.

Kemudian saingan akan menjadi lebih mencabar untuk pemain berusia 30 tahun itu kerana dia mungkin berdepan pilihan kelapan dari Hong Kong, Hu Yun pada suku akhir.
Jika Chong Wei berjaya melangkah ke separuh akhir, dia dijangka berdepan dengan naib juara Terbuka Jepun 2012 yang hadir selaku pilihan keempat, Boonsak Poonsana dari Thailand, Nguyen Tien Ming (Vietnam) atau bintang muda China, Wang Zhengming.

Sementara itu, pemain No. 2 dunia dari China, Chen Long dilihat sebagai pencabar utama yang akan menjadi lawan Chong Wei pada aksi final.
Hadir selaku pilihan kedua kejohanan, Chen Long yang diundi dalam satu lagi kelompok dijangka menghadapi laluan yang mudah untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Chong Wei mempamerkan aksi cemerlangnya pada tahun lalu untuk meraih gelaran ketiga di Tokyo selepas menundukkan pemain dari Thailand, Boonsak Ponsana.
Begitupun, Terbuka Jepun tahun ini akan menjadi agak suram buat kontijen negara kerana hanya penyandang juara tahun lalu, Chong Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon- Goh Liu Ying yang dihantar untuk menyertai kejohanan itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang melakukan penstrukturan semula pada awal bulan ini kini dalam proses merancang pelan baharu dan hanya memilih pemain-pemain yang berkualiti untuk menyertai kejohanan di Tokyo itu.

Dalam pada itu, penilai bebas Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) BAM, Razif Sidek yang turut dilantik sebagai ketua dalam skuad elit berharap, ketiga-tiga pemain itu mempamerkan kesungguhan pada kejohanan itu.

“Saya berharap mereka dapat bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh untuk mengulangi kejayaan yang disandang pada tahun lepas,” kata Razif.

Chong Wei menewaskan Bonsana 21-18, 21-18, manakala Peng Soon-Liu Ying menundukkan pasangan Indonesia, Muhammad Rijal-Liliyana Natsir 21-12, 21-19 untuk mengungguli gelaran tahun lalu.

Terbuka Jepun 2013 yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$200,000 (RM658,000) akan bermula hari ini dan melabuhkan tirainya pada 22 September ini

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz2f7TDqRHz

No comments:

Post a Comment