Tuesday, September 10, 2013

Nicol pasti lebih kecewa

KUALA LUMPUR - Bilangan penonton setia yang lebih ramai dan mampu menarik pengiklan, membawa kelebihan besar kepada gusti berbanding skuasy untuk dipilih menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada pengundian Sesi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), kelmarin.

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk Syed Mustaffa Syed Ali (gambar) mengakui amat kecewa dengan keputusan ahli IOC yang memberikan 49 undi kepada gusti di Buenos Aires, namun ratu skuasy negara, Datuk Nicol David pasti lebih kecewa daripadanya.

"Saya memang kecewa apabila skuasy gagal lagi menyertai program Sukan Olimpik tetapi saya pasti Datuk Nicol (juara dunia tujuh kali) lebih kecewa kerana dia turut bekerja keras dalam bidaan Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) itu.

"Saya rasa selain nilai sejarah gusti yang besar di Sukan Olimpik, kadar tontonan televisyen sukan itu di seluruh dunia lebih tinggi dan mampu menarik pengiklan.

"Itu memberikan mereka kelebihan yang sukar ditandingi oleh skuasy (cuma meraih 22 undi, selain sofbol-besbol, 24 undi).

"Skuasy juga ada kelebihan tersendiri. Jika dibandingkan dengan gusti yang cuma popular di negara tertentu, gelanggang skuasy terdapat di 150 buah negara di seluruh dunia.
"Mereka yang membuat pembentangan pada sesi IOC ke-125 (Presiden WSF, Narayana Ramachandran, pemain No. 1 dunia lelaki, Ramy Ashour dan bekas juara dunia lima kali wanita, Sarah Fitz-Gerald) sudah buat yang terbaik tetapi majoriti ahli IOC tampak lebih menggemari gusti," katanya.

Ditanya kemungkinan Nicol mampu membawa impak yang berlainan kepada nasib skuasy sekiranya turut menghadiri sesi pembentangan dan bidaan kali ketiga ke Olimpik selepas 2005 dan 2009, kata Syed Mustaffa: "Saya tidak fikir begitu.

"Dia sudah terikat untuk beraksi pada Terbuka Malaysia yang bermula di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, esok (hari ini). Kami juga diminta mengubah tarikh kejohanan (bagi membolehkannya ke Buenos Aires) tetapi tidak dapat berbuat begitu.

"Bidaan skuasy ke Olimpik 2020 telah merapatkan dan menyatukan lebih banyak negara di seluruh dunia. Momentum sebegitulah yang sukar diperoleh sebelum ini. Skuasy juga perlu mara (selepas kegagalan ini),'' katanya kepada Utusan Malaysia.


Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment