Wednesday, September 11, 2013

Nicol Masih Optimis Skuasy Dipertanding Di Olimpik

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pemain skuasy No. 1 dunia, Datuk Nicol Ann David masih optimis bahawa skuasy akan menjdi acara olimpik satu ketika nanti.

"Kita mengetengahkan kes kita dengan baik, memenuhi semua kriteria, Namun akhirnya, kita tidak memperoleh hasil seperti yang diharapkan," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Skuasy Terbuka Terbuka Malaysia CIMB di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau merujuk keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Buenos Aires pada Ahad lalu yang menolak skuasy sebagai acara olimpik bagi memberi laluan kepada acara gusti.

"Ia menyedihkan, mengetahui banyak yang boleh kita tawarkan. Yang bagusnya dalam keseluruhan kempen, masyarakat skuasy bersatu padu menyokong usaha itu," kata pemain berumur 30 tahun ini.

Nicol menjadi tokoh penting dalam kempen 'Back the Bid 2020'.

Ia merupakan kegagalan kali ketiga untuk memasukkan skuasy ke dalam olimpik.

Ditanya sama ada Persekutuan Skuasy Sedunia akan membuat bidaan lagi pada Olimpik 2024, Nicol berkata: "Sudah tentu skuasy akan mempertimbang semua kemungkinan untuk menjayakannya.

Ia bukan sahaja mengenai saya dan kumpulan pemain utama sedia ada. Ia mengenai masa depan skuasy.

"Apapun kita akan mempunyai presiden IOC yang baharu, siapa tahu ia akan memihak kepada kita di masa depan. Saya percaya skuasy akan mempunyai peluang akhirnya."

Nicol berkata beliau kini mahu menumpukan kepada Terbuka Malaysia.

Juara dunia tujuh kali ini gagal mempertahan kejuaraan tahun lalu apabila kalah kepada pemain Mesir Raneem El Weleily.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment