Monday, September 02, 2013

Nicol Lakar Hatrik Gelaran Juara Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David mencipta hatrik apabila meraih gelaran juara kebangsaan pada edisi keempat Kejohanan Kebangsaan 2013 di Arena David Nicol, Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Nicol, selaku pemain nombor satu dunia dan pilihan utama pada kejohanan itu, bagaimanapun terpaksa memerah keringat sebelum menyingkirkan pemain nombor dua negara dan juara bertahan Low Wee Wern.

Dalam pertarungan selama 67 minit itu, Nicol, 30, membuktikan kejaguhannya dengan mencapai keputusan 11-8, 11-5, 7-11 dan 11-8 ke atas lawannya yang berusia 23 tahun.

Pada tahun lepas, Nicol tidak menyertai kejohanan tersebut selepas meraih kejuaraan edisi pertama pada 2010 dan berjaya mempertahankan gelarannya pada tahun berikunya.

"Dalam dua set pertama, saya hanya mahu mendapatkan rentak manakala Wee Wern sudah pun menunjukkan pemainan mantap dan ketika itu saya terpaksa mengerah tenaga untuk mengambil sebarang peluang.

"Saya tidak rugi apa-apa tetapi dia mahu kejuaraan kebangsaan. Oleh itu, setiap mata adalah penting dan kadang-kadang tidak sabar sehingga melakukan beberapa kesilapan," kata Nicol.

Kejayaan itu membolehkan Nicol membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 serta piala manakala Wee Wern menerima RM3,000.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, pemain veteran Ong Beng Hee berjaya mempertahankan gelaran setelah mengalahkan Mohd Nafiizwan Adnan dalam perlawanan sengit yang berlarutan selama 91 minit.

Beng Hee, 33, mencipta keputusan 11-7, 11-9, 8-11, 9-11 dan 11-6.

"Ketika mendahului dua set pertama, saya tidak sabar untuk memenangi perlawanan dan ini menyebabkan tumpuan saya terjejas. Pada masa itu, Mohd Nafiizwan mula bangkit untuk menang dua set berikutnya.

"Nasib baik, saya mula memberi tumpuan semula pada set penentuan," kata Beng Hee yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala manakala Mohd Nafiizwan menerima RM5,000.

Beng Hee berkata beliau perlu melakukan penyesuaian semula persiapan menghadapi Terbuka Malaysia CIMB dari 10 hingga 15 Sept ini kerana bakal bertemu Mohd Nafiizwan sekali lagi pada pusingan pertama kejohanan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment