Tuesday, September 03, 2013

‘Nak hukum biarlah berpada’


Kuala Lumpur: “Kalau nak hukum biarlah berpada”.

Itu reaksi Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali susulan kenyataan tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berhasrat menyekat terus peruntukan kewangan kepada badan induk berkenaan susulan kekalahan memalukan skuad negara di final Siri Super ISTAF kelmarin.


Malah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong turut menyuarakan perancangan untuk tidak lagi mengadakan program sepenuh masa bagi skuad sepak takraw negara seandainya hanya keputusan seperti itu mampu diraih.

Shapian meminta KBS tidak memberikan hukuman terlalu berat terutamanya dalam aspek kewangan sehingga menjejaskan pembangunan sukan tradisi berkenaan yang dilihatnya kembali mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.

FotoSHAPIAN (kiri) rayu KBS tidak mengenakan hukuman terlalu berat terhadap PSM.

“Jangan sampai sekatan terbabit menjejaskan pembangunan pada peringkat akar umbi. Saya minta KBS turut padang melihat persatuan negeri dan memberi bantuan terutamanya dalam merancakkan kejohanan di peringkat negeri,” katanya.

Khairy semalam dilaporkan melahirkan rasa malunya terhadap kekalahan skuad negara kepada Korea Selatan di pentas final Siri Super India dan menjelaskan PSM diperuntukkan RM1 juta setiap tahun. Malah, Khairy dilaporkan berkata seandainya PSM meminta peruntukan terus daripada Perdana Menteri dan bukan melalui KBS, beliau akan meminta peruntukan tersebut tidak diberikan.

Shapian yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) mengakui bantuan kewangan pihak kerajaan sememangnya penting, seperti mana yang diberikan kerajaan negeri Terengganu sehingga membolehkan mereka mendominasi kebanyakan kejohanan di negara ini selain sebahagian besar pemainnya pula berjaya diserapkan ke dalam skuad negara.

“Pada saya bukan saja pemain harus dibangunkan namun pengurusan juga perlu diberi tumpuan. PSM perlu memainkan peranannya dalam memartabatkan sukan ini dengan peruntukan diberikan. Bayangkan kejohanan Piala Emas Khir Johari hanya menawarkan RM5,000 kepada juara dan sekarang kejohanan yang dianjurkan peringkat bawahan mampu menawarkan hadiah seperti itu sedangkan kejohanan ini paling berprestij di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan Zolkples, Shapian berkata, ia terpulang kepada MSN seandainya mahu mengurangkan kos yang ditanggung mereka.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment