Wednesday, September 25, 2013

Misi pujuk Rashid

Kuala Lumpur: Juara Terbuka Jepun, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu jurulatihnya, Rashid Sidek hari ini bagi membincangkan mengenai situasi terkini peletakan jawatan jurulatih itu.
“Saya tahu Rashid tidak gembira dengan apa yang berlaku, begitu juga jurulatih lain, jadi esok atau lusa (hari ini atau esok) saya akan berbincang dengan jurulatih Rashid,” kata Chong Wei ketika kembali dari Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam.

Sambil menyifatkan peletakan jawatan Rashid sukar diterimanya, dia berkata: “Beliau jurulatih yang bagus, terlalu banyak membantu saya sepanjang 10 tahun ini.
“Rashid dan Tey Seu Bock bekerja keras membantu saya untuk kekal sebagai pemain nombor satu dunia sehingga kini.” Juara empat kali Terbuka Jepun itu mengakui merasai tekanan ketika beraksi di final kerana memikirkan situasi yang terpaksa dihadapi jurulatihnya itu.

“Memang saya agak tertekan tapi mujur berjaya meraih kemenangan ke atas Kenichi Tago. Kemenangan ini cukup bermakna bagi saya dan berharap dapat membawa pulang gelaran pada setiap kejohanan disertai.” Terbuka Jepun menjadi gelaran kelimanya tahun ini selepas mengungguli Terbuka Malaysia, Korea, India dan Indonesia.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment