Thursday, September 12, 2013

Melangkah bergaya

ROZAIMI (tengah) menjaringkan gol kedua Harimau Muda ketika menentang Thailand pada Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.


SKUAD Harimau Muda melangkah penuh bergaya ke final Pestabola Merdeka 2013 Sabtu ini.
Dalam aksi terakhir kumpulan malam tadi, skuad kendalian Ong Kim Swee itu membelasah Thailand 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut yang diraih Harimau Muda selepas kejayaan membenam Singapura 1-0 dan Myanmar 2-1.
Pada aksi final, Harimau Muda akan menentang Myanmar yang meraih kemenangan 2-0 ke atas Singapura di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Biarpun berkongsi empat mata dengan Thailand, Myanmar lebih layak ke final berdasarkan kelebihan jaringan.
Pada pertemuan menentang Thailand malam tadi, Kim Swee merehatkan beberapa tonggak utamanya bagi memberi mereka rehat yang cukup sebelum aksi final Sabtu ini.
Walaupun merehatkan beberapa tonggak utama, barisan pemain yang diturunkan berjaya membalas kepercayaan Kim Swee.

Mohammad Nasir Basharuddin membuka tirai jaringan Harimau Muda pada minit ke-12 hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Nazirul Naim Che Hashim.

Thailand kembali mengatur gerakan merbahaya menerusi gandingan Pakorn Parmpak dengan Seksit Srisai, namun benteng pertahanan Harimau Muda lebih bersedia menafikan serangan pasukan lawan.
Kem Harimau Muda terus berpesta apabila penyerang, Rozaimi Abd. Rahman meledak gol kedua pada minit ke-28.

Memasuki babak kedua, Harimau Muda beraksi semakin garang dan Rozaimi memiliki peluang menambah jaringan, masing-masing pada minit ke-48 dan 49, namun gagal merobek gawang Thailand.
Selepas beberapa kali gagal, Rozaimi mengesahkan kemenangan bergaya Harimau Muda apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-81.

“Saya sangat berpuas hati dengan corak permainan para pemain kerana menunjukkan sikap yang sangat positif serta memberikan komitmen 100 peratus dalam perlawanan.
“Saya melihat Thailand tidak mempamerkan permainan sebenar kerana para pemain mereka sangat keletihan berbanding pasukan kita yang menampilkan enam muka baharu yang masih segar,” kata Kim Swee pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Di Temerloh, Myanmar mengesahkan tiket ke final selepas menewaskan Singapura 2-0 hasil jaringan Kyaw Ko Ko pada minit ke-14 dan Soe Kyaw Kyaw (89).

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@ kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment