Friday, September 27, 2013

Malaysia Yakin Raih Enam Lagi Pingat Emas Di ISG Palembang


PALEMBANG, 26 Sept (Bernama) -- Kejayaan kontinjen negara meraih lima pingat emas pada hari keempat Temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga memberi keyakinan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menambah sasaran sekurang-kurangnya enam lagi pingat emas untuk Malaysia.

Malaysia kini mengumpul lima pingat emas, tiga pingat perak dan tujuh pingat gangsa di temasya sukan yang disertai 46 buah negara Islam itu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata sandaran pingat emas diletakkan pada acara renang dan badminton yang masih berlangsung di Kompleks Sukan Jakabaring Khamis.

"Kami di MSN yakin mampu menambah sekurang-kurangnya enam lagi pingat emas sebelum ISG 2013 melabuh tirai pada 1 Okt dan atlet daripada acara sukan lain masih mempunyai masa untuk turut menyumbang pingat kepada negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Zolkples berkata kejayaan negara setakat ini amat membanggakan MSN dan ia diluar jangkaan awal.

Beliau berkata dua faktor utama kepada kejayaan itu ialah semangat bersungguh yang ditunjukkan oleh atlet negara tidak kira sama ada atlet elit mahupun atlet pelapis.

Faktor kedua ialah dalam beberapa acara sukan, tahap pertandingannya agak rendah contohnya badminton, MSN kita tidak menyangka Indonesia turut menurunkan atlet pelapis.

"Begitu juga bagi sukan renang, Koh Chai Lin berjaya meraih pingat emas menerusi acara 400 meter medley wanita yang merupakan bukan acara kegemarannya dan begitu juga dengan Yap See Tuan yang meraih pingat emas menerusi acara 200 meter kuak dada lelaki," katanya.

Zolkples berkata dengan catatan masa itu belum tentu mereka (atlet) dapat mengesahkan pingat emas di Sukan SEA Myanmar pada Disember nanti namun penyertaan di ISG 2013 merupakan medan pendedahan terbaik untuk atlet pelapis yang baru pertama kali menyertai kejohanan peringkat dunia.

"Atlet pelapis dilihat ramai yang menyerlah di Palembang antaranya Nauraj Singh (pingat gangsa lompat bergalah), Lim Chee Wei (pingat emas karate acara kata individu lelaki) dan beberapa atlet karate dan badminton," katanya.

Pada edisi pertama di Arab Saudi tahun 2005, Malaysia menduduki tempat ketujuh daripada 57 buah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) setelah berjaya meraih lima pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa.



Corat-coret temasya sukan ini:

GURDO MAKAN TRADISIONAL PALEMBANG

---------------------------------

Gurdo Palembang ialah sejenis makanan tradisional yang popular untuk sarapan pagi bagi warga Palembang mirip Laksam yang terkenal di negeri Kelantan dan Terengganu.

Kuah Gurdo Palembang dibuat menggunakan isi ikan dan santan kelapa hampir sama seperti kuah Laksam.

CAJ PENGANGKUTAN

-----------------

Petugas media dikenakan bayaran untuk perkhidmatan kenderaan perantara ke Kompleks Sukan Jakabaring oleh sukarelawan temasya itu, pada hal ada yang memberitahu, perkhidmatan itu percuma.

TIADA BILIK MEDIA

------------------

Pihak penganjur tidak menyediakan bilik media di venue temasya, oleh itu ada petugas media duduk bersila untuk menghantar berita.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment