Monday, September 02, 2013

Malaysia tetap gembira dalam duka

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi kata perangsang kepada skuad kebangsaan di bilik persalinan selepas Malaysia tewas 1-3 kepada Pakistan pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Asia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari 
 
IPOH - Walaupun kecewa gagal menamatkan Piala Asia sekurang-sekurangnya di tempat ketiga selepas tumpas 1-3 kepada Pakistan semalam, namun Malaysia tetap menutup kempen di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dengan keceriaan apabila mengesahkan tiket Piala Dunia 2014.
Mengikut format baharu kelayakan Piala Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia layak ke Belanda selepas Korea Selatan memuncul juara Piala Asia 2013 menewaskan India dengan 4-3.

Slot ke Piala Dunia sepatutnya diberi kepada juara Piala Asia tetapi disebabkan Korea sudah layak ke Belanda sebelum menyertai kejohanan di Ipoh, maka satu tiket tersebut diberi kepada Malaysia selepas mengambil kira pencapaian skuad kebangsaan yang meraih tempat kelima pada kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia, Julai lepas di Johor Bahru.

Ini bermakna Malaysia tidak perlu menunggu slot daripada benua Ocenia untuk layak.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan Paul Revington berkata, masih banyak yang perlu diberi perhatian oleh skuad kebangsaan, terutama selepas gagal meraih kemenangan ke atas Pakistan.
Malah, Revington turut mengakui skuad kebangsaan gagal memanfaatkan banyak peluang untuk mendapatkan jaringan dengan baik sekali gus menyukarkan Malaysia mengejar kedudukan jaringan Pakistan dalam aksi perebutan tempat ketiga.

"Kita tidak bermain dengan baik hari ini (semalam), malah Pakistan menunjukkan bahawa mereka memang memerlukan kemenangan.
"Kekalahan ini memerlukan kami menilai semula segala kelemahan yang ada terutama untuk memperbaiki prestasi pasukan sebelum menyertai Piala Dunia tahun depan," kata Revington.
Kekalahan tersebut turut gagal mengulangi pencapaian terbaik meraih tempat ketiga kejohanan sama pada 2007 di Chennai, India.

Pada perlawanan semalam, skuad kebangsaan bermula baik biarpun beraksi dalam hujan, selain turut melakukan tiga percubaan merbahaya di kawasan D Pakistan.
Bagaimanapun, Malaysia yang mula dihadiahkan pukulan sudut penalti seawal minit kedua gagal memanfaatkan peluang mendapatkan jaringan apabila pukulan Muhammad Razie Abd. Rahim tersasar dari gawang lawan begitu juga ketika minit ke-32.

Percubaan penyerang, Mohd. Fitri Saari menerusi gerakan solo dalam kawasan D Pakistan juga tidak membuahkan hasil.
Skuad kebangsaan hanya mampu mendapatkan jaringan menerusi Faizal Saari pada minit ke-34 menerusi gol padang iaitu seminit sebelum Pakistan menyamakan kedudukan melalui Abdul Haseem Khan.

Bermula separuh masa kedua menyaksikan Pakistan terus menambah derita skuad kebangsan apabila menambah jaringan kedua menerusi Muhammad Imran pada minit ke-54.
Satu lagi jaringan Pakistan diperoleh hasil gol sendiri skuad kebangsaan pada minit ke-56.
Jaringan tersebut terhasil akibat lantunan bola yang terkena kayu Muhammad Razie, sebelum menerjah masuk ke gawang sendiri.

Artikel Penuh: UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment