Monday, September 23, 2013

Malaysia Terlepas Satu Emas, Atlet Karate Cedera


PALEMBANG, 22 Sept (Bernama) -- Malaysia terlepas satu pingat emas pada hari pertama temasya Sukan Perpaduan Islam di sini, apabila sandaran pingat emas negara bagi acara karate, Ricky Leong Tze Wai tidak dapat diturunkan esok, setelah mengalami kecederaan serius pada tangan kiri, ketika menjalani latihan.

Ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata beliau terkilan setelah menerima berita tersebut namun tetap optimis sasaran negara untuk memperoleh lebih satu pingat dari sukan karate masih cerah.

"Saya tidak benarkan Ricky turun beraksi esok kerana beliau telah menerima sembilan jahitan akibat daripada luka tersebut dan beliau kini berehat di bilik," katanya kepada Bernama Ahad.

Megat Zulkarnain berkata tempat Ricky akan diganti Lim Chee Wei yang akan turun beraksi dalam kategori individu lelaki dan berpasukan lelaki, Isnin.

"Saya percaya dengan kemampuan Lim dan berharap beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bagi menyumbang pingat emas pertama negara sebagai hadiah kepada Ricky," katanya.

Justeru beliau meminta semua atlet agar lebih berhati-hati ketika menjalani latihan agar perkara sama tidak berulang.

Malaysia meletakkan sasaran tiga pingat emas di kejohanan yang berlangsung mulai 22 Sept hingga 1 Okt, menerusi acara renang, wushu dan karate.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment