Thursday, September 26, 2013

Malaysia Semakin Hampiri Slot Final Selepas Atasi England 3-1

JOHOR BAHARU, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia semakin menghampiri slot ke final apabila menundukkan England 3-1 untuk kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini Rabu.

Kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan itu melonjakkan Malaysia di kedudukan teratas carta enam pasukan dengan maksimum sembilan mata.

India turut mengekalkan rekod tanpa kalah apabila membenam musuh tradisi Pakistan 4-0 untuk berkongsi mata dengan Malaysia.

Bagaimanapun, India menghuni tangga kedua dengan perbezaan jaringan.

Dalam pertemuan dengan England, Malaysia memperoleh kesemua gol menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Mohd Shahril Saabah pada minit kesembilan dan minit ke-56 dan Izad Hakimi pada minit ke-43.

England, yang gagal mengutip sebarang mata selepas tiga perlawanan, merapatkan jurang jaringan pada minit ke-61 menerusi pukulan sudut penalti oleh Peter Bull.

Jurulatih negara Muhammad Dharma Raj berkata skuad negara terlepas banyak peluang untuk menambah jaringan dan perlu meningkatkan tumpuan apabila berdepan dengan Pakistan esok dan India, Sabtu ini.

Beliau berkata skuad negara tidak seharus bergantung kepada percubaan pukulan sudut penalti untuk membolos gawang lawan malah perlu menghasilkan gol padang.

Dharma menyifatkan pertemuan dengan Pakistan dan India bukan merupakan tugas yang mudah malah mengharapkan anak buahnya dapat mengutip mata dalam kedua-dua perlawanan itu bagi menjamin tempat ke final.

Sebelum itu, Korea Selatan dan Argentina seri 2-2.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment