Thursday, September 12, 2013

Malaysia Kekal Rekod Tanpa Kalah Dengan Atasi Thailand 3-0

KUANTAN, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah pada Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 selepas menundukkan Thailand 3-0 pada pusingan awal di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Rabu malam.

Biarpun sudah menjejak kaki ke final dengan dua kemenangan sebelum ini, namun skuad bawah 23 tahun negara tetap mempamerkan persembahan mantap untuk mengasak kubu lawan sebaik perlawanan bermula.

Hasilnya, pemain tengah Mohammad Nasir Basharuddin meletakkan skuad negara di hadapan menerusi sepakan leret pada minit ke-12 yang melepasi jangkauan penjaga gol Thailand, Abeefaesan Ya.

S. Sivanesan mensia-siakan peluang untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-26 selepas sepakannya sekadar melepasi palang gol pasukan Thailand ketika hanya berhadapan dengan Abeefaesan.

Penyerang, Md Rozaimi Abd Rahman, yang kali pertama beraksi pada kejohanan kali ini, membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih Ong Kim Swee apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-28 selepas mudah menolak masuk hantaran sebelah kanan daripada rakan sepasukan.

Bersambung separuh masa kedua, barisan muda Kim Swee terus melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya, Md Rozaimi terus meletakkan negara pada kedudukan selesa dengan gol ketiga pada minit ke-81.

Gol berkenaan berpunca daripada hantaran rakan sepasukan kepada Md Rozaimi yang bijak memperdayakan pertahanan Thailand sebelum beliau melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan Abeefaesan.

Keputusan tersebut membolehkan skuad muda negara menerajui kedudukan teratas dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan.

Mereka sebelum ini mengalahkan Singapura 1-0 pada aksi pembukaan, Sabtu lepas, sebelum bangkit mencatatkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas pasukan Myanmar, dua hari kemudian.

Malaysia akan menentang Myanmar pada final Sabtu ini.

Dalam satu lahi saingan pusingan awal, Myanmar melengkapkan jadual dengan menundukkan Singapura 2-0 di Stadium Mini Temerloh.

Dua gol skuad kendalian Park Sung Hwa dijaringkan oleh Kyaw Ko Ko pada minit ke-15 dan Soe Kaw Kaw pada minit ke-90.

Mereka berkongsi empat mata bersama Thailand namun mara ke final berdasarkan perbezaan jaringan.

Thailand akan membuat perhitungan dengan Singapura untuk penentuan tempat ketiga, pada Sabtu ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment