Friday, September 06, 2013

Malaysia Hilang Lebih 20 Butir Emas Sebelum Mula Sukan SEA Myanmar - Khairy

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia telah kehilangan lebih 20 pingat emas sebelum bermulanya Sukan SEA Myanmar 2013, Disember ini, namun ia bukan alasan kepada atlet tidak mempamerkan prestasi terbaik masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata kehilangan pingat emas itu ekoran empat acara sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA Indonesia 2011 telah digugurkan oleh tuan rumah pada edisi ke-27 itu.

Empat acara yang menjadi lubuk emas negara ialah acara berbasikal trek, tenpin boling, renang berirama dan luncur air, katanya.

"Bagaimanapun, itu bukan alasan kepada atlet untuk tidak mempamerkan prestasi terbaik," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Milo Menyemarakkan Kejaguhan Atlet Malaysia Sukan SEA ke-27 oleh Nestle Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Khamis.

Kempen oleh syarikat pengeluar minuman nutrisi malt cokelat itu adalah untuk meneruskan komitmen mereka sejak temasya Sukan SEAP pada 1959 sehingga kini dalam memberi sokongan kepada atlet muda negara berusaha untuk kejayaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong, Ketua Nestle Rantau Malaysia/Singapura, Alois Hofbauer, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Myanmar, Datuk Wira Amiruddin Embi.

Khairy berkata unjuran sasaran pingat pada temasya Sukan SEA kali ini perlu lebih rasional berdasarkan kepada jenis sukan yang akan Malaysia sertai.

Bagaimanapun, katanya masih terlalu awal untuk menyasarkan jumlah pingat di Sukan SEA Myanmar yang berlangsung dari 11 hingga 22 Dis ini.

"Kementerian masih lagi menunggu pengesahan dari segi senarai muktamad daripada MOM dan setakat ini kita masih tidak dapat mengesahkan berapa jumlah atlet dan jenis sukan yang akan disertai.

"Selepas menerima senarai daripada MOM, kita akan semak dan menilai sasaran. Keputusan akhir mengenai kontinjen kita akan di buat pada bulan Oktober ini," katanya.

Mengenai penganjuran Sukan SEA pada 2017, Khairy berkata kertas memorandum Kabinet akan dikemukakan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

"Ia agak mengambil masa juga kerana kita kena mengambil kira mengenai kosnya dan membuat belanjawan mengenainya. Kita akan umumkan sebaik sahaja mendapat keputusan daripada Kabinet," katanya.

Brunei sepatutnya menjadi pengelola Sukan SEA pada 2017 tetapi ia hanya bersedia berbuat demikian pada 2019.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA ialah pada 2001 dan muncul sebagai juara keseluruhan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment