Monday, September 23, 2013

Malaysia Harap Tuan Rumah Segera Selesai Isu Penginapan Atlet


PALEMBANG, 22 Sept (Bernama) -- Ketua Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Perpaduan Islam, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berharap pihak penganjur dapat menyelesaikan segera masalah penginapan atlet di perkampungan sukan di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia.

Beliau berkata kontinjen negara memahami masalah yang dihadapi pihak penganjur kerana diberi hanya tempoh dua bulan untuk membuat persiapan setelah penganjuran sukan tersebut dipindahkan dari Kepulauan Riau ke Palembang, di sini.

"Saya akan bangkitkan masalah penginapan atlet pada mesyuarat ketua kontinjen esok kerana isu ini perlu segera diselesaikan agar ia tidak menjejaskan atlet yang akan mula bertanding esok," katanya kepada Bernama.

Megat Zulkarnain berkata terdapat atlet yang terpaksa berkongsi lima orang sebilik dan ia terlalu padat.

"Kalau boleh kita tidak mahu atlet duduk terlalu padat kerana mereka pasti tidak selesa dan seterusnya tidak dapat memberi fokus kepada pertandingan," katanya.

Jelas beliau, masalah penginapan timbul apabila terdapat dalam kalangan atlet daripada sukan bola sepak dan bola keranjang yang telah tamat acara, tidak mahu mengosongkan bilik mereka dan pulang ke negara masing-masing.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment