Friday, September 20, 2013

Lebih 30 Permohonan Untuk Isi Jawatan Jurulatih Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Terdapat lebih 30 permohonan termasuk daripada jurulatih tempatan untuk mengisi jawatan jurulatih skuad bola sepak Harimau Malaya, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Kita sedang membuat tapisan memandangkan kita masih menerima (permohonan) daripada calon yang berkaliber dari luar negara," katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran kad VIP Watsons edisi terhad Piala Malaysia 2013 di sini, Khamis.

Mengenai saranan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin agar FAM mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan jurulatih terbaik Harimau Malaya, Hamidin berkata ia akan dikaji agar badan induk bola sepak negara itu tidak menghadapi masalah kewangan pada masa depan.

"Kalau itu (pelaburan besar) yang Jawatankuasa (Eksekutif) FAM fikirkan elok untuk bola sepak, saya tidak nampak perkara itu mustahil," katanya.

Khairy turut dilapor meminta FAM meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi memastikan gaji yang dibayar kepada jurulatih baharu berkenaan adalah berbaloi.

Menurut laporan, FAM dikatakan menawarkan gaji AS$18,000 (RM59,000) sebulan kepada bekas pengendali skuad kebangsaan Jepun, Philippe Troussier, 58, bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal kerana percaya jurulatih kelahiran Perancis itu mampu mengembalikan semula maruah Harimau Malaya sebagaimana ketika membimbing skuad 'Samurai Biru' mara ke pusingan 16 ketika Jepun menjadi hos bersama Korea Selatan untuk Piala Dunia 2002.

Troussier, bagaimanapun dikatakan hanya akan menerima jawatan tersebut jika ditawarkan pendapatan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5juta) yang menyaksikan dia bakal meraih gaji bulanan AS$126,805 (RM416,000).

Antara nama lain yang disebut-sebut sebagai pengganti Rajagobal ialah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan yang kini membimbing pasukan Angkatan Tentera Malaysia.

Rajagobal, yang masih memiliki kontrak sehingga 31 Dis depan, telah ditetapkan KPI bagi membantu Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Perniagaan Watsons Personal Care Stores Sdn Bhd, Jessica Ng berkata kad VIP itu adalah terhad kepada 5,000 orang terpilih dan akan mula diedarkan hanya di sembilan negeri mulai 24 Sept hingga 21 Okt ini.

Negeri berkenaan ialah Johor, Kelantan, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Perak dan Sarawak.

"Mereka yang berminat perlu membeli barangan bernilai RM20 dalam satu resit dan mengepilkan pembelian berkenaan ke dalam kotak yang disediakan di stor Watsons terpilih sebelum cabutan dilakukan untuk memilih mereka yang layak mendapat kad VIP itu," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment