Monday, September 02, 2013

Korea aibkan regu negara


Kuala Lumpur: Ke mana hala tuju sepak takraw negara? Skuad negara terus mendapat aib di pentas antarabangsa apabila diaibkan 0-3 oleh Korea Selatan dalam aksi final Siri Super Istaf yang berlangsung di India malam tadi.

Ia mencetuskan kebimbangan terutamanya menjelang temasya Sukan SEA 2013 yang hanya tinggal beberapa bulan lagi selain Sukan Asia 2014 di Korea Selatan yang menjadi matlamat utama skuad kendalian ketua jurulatih Jamaluddin Hassan itu.

Malah kekalahan itu turut menghadirkan rasa kurang senang Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong menyuarakan rasa kecewanya beliau dengan kekalahan mudah kepada trio Korea Selatan itu.

“Saya amat kecewa dengan prestasi mereka. Apa yang mereka belajar di Thailand? Bermain lebih teruk berbanding sebelum ini (berlatih dalam negara),” katanya yang mempersoalkan mengenai sesi latihan dan pendedahan pemain negara di Liga Takraw Thailand selama beberapa bulan sebelum ini.
FotoAKSI pemain negara ketika menghalang libasan pemain Korea Selatan.

Malah Zolkples turut membayangkan sesi latihan sepenuh masa (yang ditaja MSN) selama ini mungkin sudah tidak diperlukan.

“Selepas tewas kepada Myanmar tempoh hari (final Kejohanan Lima Negara pada bulan lalu), sekarang tewas pula kepada Korea Selatan dengan hanya tiga set,” katanya.

Pada kejohanan pembukaan Siri Super bagi musim 2013/14 itu, skuad negara menurunkan barisan terbaik diketuai Norshahruddin Mad Ghani (perejam), Farhan Adam (pengumpan) dan Ahmad Aizat Azmi sebagai tekong namun semuanya bagaikan tidak menjadi buat skuad negara apabila lawan lebih bijak dan tangkas mengawal gelanggang dengan mudah.

Trio Korea Selatan yang dibarisi Kim Young Man, Jeong Won Deok dan Park Hyun Geun mudah mengatasi skuad negara dengan keputusan 15-10 pada set pertama dengan Norshahruddin dan Ahmad Aizat dilihat banyak melakukan kesilapan mudah yang menyumbang kepada lawan.

Jamaluddin memasukkan Izurin Refin untuk menggantikan Ahmad Aizat pada awal set kedua namun tidak banyak perubahan apabila masih gagal meraih mata terutamanya menerusi servis menyebabkan skuad negara tewas 15-11 disusuli kalah 15-10 pada set ketiga untuk keputusan akhir 3-0. Kedua-duanya dilihat gagal melakukan kepelbagaian dalam servis.

Persoalan turut timbul terhadap kemampuan perejam utama negara Norshahruddin yang dilihat gagal mempelbagaikan rejaman dan tidak mampu melakukan lompatan yang tinggi apabila bolanya sering kali dihalang pemain lawan.

Kekalahan terbaru ini pastinya mengecewakan seluruh peminat sukan tradisi ini terutamanya selepas Thailand disingkirkan Korea Selatan pada suku akhir namun masih gagal mengambil kesempatan untuk bergelar juara buat kali pertama.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment