Wednesday, September 25, 2013

Khairy Puas Hati Pencapaian Atlet Negara Di Temasya Sukan Perpaduan Islam


PALEMBANG, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melahirkan rasa puas hati atas kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran tiga pingat emas pada hari kedua Temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga di sini.

Khairy berkata kejayaan itu membuktikan atlet negara berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih penting pada Kejohanan Sukan SEA Myanmar Disember ini.

"Hari ini sahaja kita berjaya meraih dua pingat emas menerusi Yap Siew Hui dan Yap See Tuan...mereka telah beraksi dalam keadaan yang cukup meyakinkan," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan persembahan skuad renang negara di Pusat Akuatik Jakabaring dekat sini Selasa.

Yap Siew Hui meraih pingat emas menerusi acara 100 meter kuak kupu-kupu wanita dengan catatan masa 1:02.10s dan Yap See Tuan pula menerusi acara 200 meter kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:18.16s.

Beliau berkata kejayaan skuad karate menyumbang pingat emas pertama negara semalam (Isnin) harus diberi pujian apabila Lim Chee Wei yang menggantikan Ricky Leong Tze Wai dalam acara Kata individu lelaki mendapat markah penuh 5-0 mengatasi atlet Algeria, Djaafer Islam yang meraih pingat perak.

Ricky terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian tapak tangan kiri ketika menjalani latihan bersama Lim pagi Ahad.

Khairy berkata kejayaan itu membuktikan atlet negara mempunyai semangat yang tinggi dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kejohanan.

"Kejayaan kontinjen negara mencapai sasaran tiga pingat emas pada hari kedua kejohanan harus dibanggakan walaupun temasya itu bukan kejohanan yang disertai oleh seluruh dunia tetapi negara-negara Islam yang mengambil bahagian menghantar atlet kebangsaan mereka," katanya.

Beliau berkata temasya Sukan Perpaduan Islam juga merupakan medan terbaik untuk memberi lebih keyakinan kepada atlet sebelum menghadapi cabaran di Myanmar.

"Majlis Sukan Negara (MSN) tidak hanya menghantar atlet ke Palembang semata-mata untuk menyertai kejohanan ini sebaliknya lebih daripada itu iaitu sebagai pentas persediaan atlet sebelum menghadapi cabaran Sukan SEA Myanmar," katanya.

Khairy berkata beliau berharap skuad renang negara dan sukan lain mampu meraih lebih banyak pingat lagi esok sebagai bonus.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment