Wednesday, September 18, 2013

Khairul layak ke Piala Dunia

Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Malaysia, Mohd. Yazid Yahya (kiri) mengucapkan tahniah kepada Khairul sambil diperhatikan Lee Jae Hyung (kanan) di MSN, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari 
 
KUALA LUMPUR - Khairul Anuar Mohamad merealisasikan impiannya selama ini apabila melakar sejarah menjadi pemanah pertama Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2013 di Paris, hujung minggu ini. 

Khairul mengesahkan tiket ke kejohanan 21 dan 22 September itu selepas mengumpul 25 mata menerusi tiga Kejohanan Memanah Siri Dunia 2013 dalam acara recurve.
Hanya lapan pemanah terbaik dunia layak menyertai pertandingan berprestij itu, dan Khairul menempatkan diri pada kedudukan ketujuh terbaik.

Dia yang bakal menyambut ulang tahun ke-22 pada 22 September ini, dijadual menentang pemanah No. 2 terbaik dunia, Lee Seungyun dari Korea Selatan dalam aksi pembukaan.
Seandainya berjaya melepasi halangan sulung, pemenang pingat emas Sukan Olimpik London, Mauro Nespoli dari Itali atau jaguh China, Dai Xiaoxiang adalah pencabar yang bakal menanti di peringkat seterusnya.

"Saya sebenarnya tidak menjangka dapat melayakkan diri memandangkan prestasi saya di Colombia (Siri Dunia ketiga) agak kurang memuaskan. Ini adalah rezeki saya dan saya akan melakukan yang terbaik.

"Saya pernah menentang pemenang pingat emas Olimpik, Oh Jin Hyek tetapi belum pernah bertemu Lee Seungyun. Apa pun saya akan memberi tentangan terhebat kepadanya," kata Khairul ketika ditemui pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Ketika ditanya peluangnya untuk melakar kejutan pada kejohanan dua hari itu, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu tersebut berkata, memanah antara sukan yang paling sukar untuk diramal dan apa saja boleh berlaku ketika hari pertandingan.

"Dalam memanah, kita tidak boleh jangka kerana atlet yang berada pada kedudukan kelapan, misalnya, juga berpotensi mengalahkan atlet nombor satu dunia.

"Memang menjadi harapan saya untuk menang pingat emas, namun ia tidak mudah. Pada masa ini, saya cuma meletakkan sasaran untuk melepaskan diri sehingga ke pusingan separuh akhir," katanya, yang tidak mahu menetapkan sebarang sasaran pingat kerana bimbang akan menjejaskan konsentrasinya.

Dalam pada itu, Khairul turut berharap dapat mengatasi kelemahan utamanya, iaitu mudah hilang fokus apabila memperoleh mata yang sama dengan pihak lawan.
"Kesilapan yang selalu saya buat... Ketika pihak lawan memperoleh mata hampir sama, rentak bidikan saya akan terganggu. Saya harap perkara itu tidak berlaku semasa hari pertandingan," katanya.

Dalam laluan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia, Khairul telah mengharungi tiga kejohanan Siri Dunia yang diadakan di Shanghai (China), Antalya (Turki) dan Medellin, Colombia.
Pada siri pertama, dia menamatkan cabaran dengan agak baik apabila menghuni tangga keempat, tetapi menduduki tempat kelapan pada siri kedua. Prestasinya merudum dalam penampilan terakhir di Colombia apabila sekadar berada di kedudukan ke-17. Khairul terlepas menyertai siri keempat kejohanan di Warsaw, Poland kerana menjalani latihan di Korea.

"Untuk pusingan akhir ini, saya akan fokus 70 hingga 80 peratus kepada panahan kerana pada kejohanan sebelum ini saya lebih mengutamakan sasaran," ujarnya lagi.
Sementara itu, jurulatih memanah negara, Lee Jae Hyung berkata, dia memang menjangkakan Khairul akan layak ke pusingan akhir memandangkan pemanah kelahiran Terengganu ini menduduki ranking ketiga dunia sebelum berlangsungnya siri keempat di Poland.

No comments:

Post a Comment