Tuesday, September 03, 2013

Kantung PSM bakal 'kering'

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menyekat peruntukan kewangan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Tindakan itu dibuat ekoran kekalahan memalukan Malaysia kepada Korea Selatan pada final Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (IStaf) di New Delhi, India kelmarin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, skuad negara tidak mempunyai alasan untuk kalah dengan pasukan seperti Korea Selatan.

Disebabkan itu, Khairy berkata, peruntukan kepada PSM akan disekat selagi tiada pelan pemulihan yang dikemukakan.

"Malulah, kita kalah dengan Korea Selatan. Saya sedang berfikir apa nak buat dengan PSM.
"Dengan kekalahan ini, saya tidak akan beri apa-apa peruntukan kepada mereka," kata Khairy dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kejohanan Bola Jaring 2013 anjuran Women's Sport dan Fitness Foundation Malaysia (WSFFM) di Putrajaya semalam.

Khairy berkata, walaupun PSM meminta peruntukan terus daripada Perdana Menteri dan bukan melalui KBS, namun beliau akan meminta supaya peruntukan tersebut tidak diberikan.

Menurutnya, walaupun KBS tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal pentadbiran sesuatu pasukan sukan, namun dari segi pemberian peruntukan, pihaknya masih mempunyai autoriti.
"Tindakan tegas ini bukan hanya kepada PSM, namun untuk semua persatuan yang tidak mempunyai perancangan yang baik dalam mengendalikan pasukan mereka," katanya yang menambah RM1 juta diperuntukkan kepada PSM setiap tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau bersetuju dengan pendapat Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai kelemahan Malaysia yang kalah 1-3 kepada Pakistan pada aksi penentuan tempat ketiga/ keempat Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Ipoh kelmarin.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelemahan dari segi strategi serangan yang tidak cukup tajam serta mendapatkan gol melalui sudut penalti.

Namun, Khairy tetap berpuas hati kerana Malaysia mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

"Perkara ini saya nampak ada dalam perhatian jurulatih hoki kebangsaan, Paul Revington dan percaya beliau mempunyai banyak perancangan.

"Jika kita hendak berjaya dalam Piala Dunia tahun depan, kita mesti meningkatkan strategi serangan kita," katanya.

Dalam pada itu, Kejohanan Bola Jaring 2013 akan berlangsung di Universiti Malaya selama tiga hari mulai 13 September dan penyertaannya dibuka kepada pemain yang berumur lapan tahun ke atas.
Sebarang pertanyaan dan pendaftaran kejohanan itu, boleh dibuat dengan menghubungi Nurfadhilah di talian 017-352 2354, Noorhikmah (017-759 8830) serta Tang Chung Nie (010-963 4277).

KOSMO

No comments:

Post a Comment