Friday, September 27, 2013

Jangan Prejudis Tindakan PAFA - Khairy Jamaluddin

 
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu pegawai dan pemain Liga Super Perak tidak bersikap prejudis berhubung tindakan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggantung kesemua mereka selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.

Sambil menyokong tindakan yang dilakukan PAFA itu, Khairy meminta semua pihak terbabit termasuk pegawai dan petugas pasukan Liga Super negeri itu memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.

"Saya sokong tindakan yang dibuat oleh PAFA. Kadang-kala mereka mesti tegas...Saya faham sesetengah pemain dan jurulatih berasa tidak puas hati sebab tindakan ini seolah-olah menunjukkan ada sangkaan buruk terhadap mereka.

"Dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bukan bermaksud mereka bersalah, ia hanya prosedur siasatan. Saya harap pemain dan penyokong Perak tidak prejudis terhadap pengurusan bola sepak Perak.

"Mereka hanya membuat yang terbaik untuk membanteras gejala mengatur perlawanan ataupun 'bookies' dalam bola sepak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perubatan Sukan Asia ke-13 di sini Khamis.

Pada Isnin lepas, Timbalan Presiden PAFA Khairul Azwan Harun membuat laporan kepada SPRM dan polis untuk menyiasat kemungkinan berlaku rasuah dan sabotaj berikutan siri kekalahan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia.

PAFA mengambil tindakan tersebut sebaik sahaja Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia.

Pada saingan peringkat Kumpulan D bagi kempen Piala Malaysia, Perak tewas dalam ketiga-tiga perlawanan iaitu 0-1 kepada Kedah, kalah 1-2 kepada Lion XII dan dibelasah teruk 1-6 oleh Sarawak.

Khairy berkata semua pegawai dan petugas skuad itu perlu menghormati tindakan PAFA dan meminta SPRM menjalankan siasatan dengan segera bagi mengelak masalah tersebut menjejaskan prestasi pemain Perak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment