Monday, September 23, 2013

Jalur Gemilang Berkibar Megah Di Perkampungan Atlet Jakabaring


PALEMBANG, 22 Sept (Bernama) -- Jalur Gemilang bersama-sama bendera 44 lagi negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dinaikkan pada majlis ringkas sempena temasya Sukan Perpaduan Islam ketiga di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin turut hadir pada majlis yang diadakan di Perkampungan Atlet yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Jakabaring.

Perkampungan Atlet itu kini bersedia menerima kedatangan lebih 2,000 atlet dari semua negara yang menyertai temasya itu.

Malaysia menghantar 136 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 10 daripada 13 acara dipertandingkan iaitu renang, olahraga, badminton, bola tampar pantai, karate, taekwondo, tenis, angkat berat, memanah dan wushu.

Upacara perasmian temasya Sukan Perpaduan Islam dijadual disempurnakan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono malam ini.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment