Monday, September 30, 2013

Hoki: Piala Sultan Johor Milik India

JOHOR BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- India mengubati duka tahun lepas apabila mengalahkan Malaysia 3-0 untuk merangkul kejuaraan hoki Piala Sultan Johor 2013 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Taman Daya di sini Ahad malam.

Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan India mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan edisi ketiga kali ini selepas dikecewakan oleh Jerman 3-2 pada final tahun lepas.

Skuad negara, yang turut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan pusingan awal, bagaimanapun hilang arah tuju dalam final apabila India mula mengasak.

Gol pembukaan Mirash Tirkey pada minit ke-22, hasil hantaran Kothajit Singh, mula menggugat persembahan anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah sehingga sering melakukan kesilapan dan memberi ruang keselesaan kepada penyerang India.

India seolah-olah sudah mula melihat peluang dan kesempatan dengan melakukan serangan bertali arus namun terpaksa berpuas hati dengan gol tunggal sehingga separuh masa.

Bagaimanapun, benteng pertahanan negara terpaksa bekerja keras apabila India memperoleh beberapa percubaan pukulan sudut penalti sebelum tamat babak pertama namun ia gagal disempurnakan.

Malaysia mendapat peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-47 namun pukulan Izad Hakimi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol India.

Sebaliknya, India menambah gol kedua pada minit ke-55 menerusi jaringan Affan Yousuf.

Selepas gagal dalam beberapa percubaan pukulan sudut penalti, India akhirnya menyudahkan peluang pada minit ke-64 menerusi Mampreet Singh, sekali gus mengesahkan trofi itu.

Sementara itu, Argentina menduduki tempat ketiga selepas menumpaskan Pakistan 3-0 melalui pukulan penalti selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan sepenuh masa 70 minit.

Dalam penentuan tempat kelima, Korea Selatan mengalahkan England 6-0.

Senarai Kedudukan Pasukan:

1. India

2. MALAYSIA

3. Argentina

4. Pakistan

5. Korea Selatan

6. England.

ANUGERAH:

Fair Play: England

Penjaga Gol Terbaik: Lee Se Young (Korea Selatan)

Pemain Harapan: Harjeet Singh (India)

Penjaring Terbanyak: Muhammad Shahril Saabah (8 gol, Malaysia)

Pemain Terbaik Kejohanan: Muhd Fitri Saari (Malaysia)

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment