Wednesday, September 25, 2013

Giliran Aik Mong 'angkat kaki'



AIK MONG (kiri) bersama Tengku Mahaleel pada sidang media di pejabat BAM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur minggu lalu.


BELUM reda isu peletakan jawatan Rashid Sidek, arena badminton negara terus dikejutkan dengan berita keputusan Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Aik Mong menarik diri daripada jawatan yang disandangnya itu semalam.
Sebelum ini, bekas pemain perseorangan negara era 1960-an dan 1970-an yang dilantik pada 7 September lalu itu menawarkan diri untuk membantu BAM menaikkan lagi standard pemain-pemain badminton negara.

Begitupun, selepas melihat perubahan baharu yang dilakukan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang menyusun kembali sistem kejurulatihan negara, Aik Mong mengundur diri kerana berasakan dirinya sudah tidak diperlukan.

Terdahulu, Aik Mong yang dibantu Penilai Bebas TMG, Razif Sidek melakukan perubahan struktur jurulatih dengan menubuhkan dua pasukan - Kumpulan A untuk pemain-pemain elit dan Kumpulan B bagi skuad pelapis.

Struktur barisan jurulatih juga dirombak apabila beberapa jurulatih skuad senior dan SSBJ disusun, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jurulatih sehingga menyaksikan jurulatih perseorangan, Rashid Sidek meletak jawatan Khamis lalu.

Tengku Mahaleel mengubah kembali struktur yang diperkenalkan Aik Mong tersebut apabila mewujudkan satu skuad negara sahaja dengan lima kumpulan mengikut kategori masing-masing.
“Aik Mong seorang yang ikhlas yang hadir secara sukarela untuk memberikan bantuan dan dia tidak menerima sebarang gaji tetapi selepas berasakan strategi baharu lebih baik dia telah meminta untuk undur diri.

“Sebenarnya idea itu pun hadir daripada dia dan pertemuan saya dengan media sebelum ini. Saya hanya mempertingkatkan lagi kerana mahu hasil yang lebih cepat.

“Dia beritahu saya pelan yang baharu ini sudah baik dan percaya ia boleh dijalankan dengan baik, sebab itu dia menarik diri tetapi dia telah beri banyak sumbangan dan pertolongan,” kata Tengku Mahaleel ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Tengku Mahaleel turut mengesahkan bahawa Rashid tidak melanggar kontrak dengan BAM kerana bekas jaguh negara itu menandatangani perjanjian selama dua minggu dengan kelab badminton India, Delhi Smasher sebagai penasihat pasukan.

“Dia menyertai kelab itu sebagai penasihat pasukan dan tidak memberikan latihan seperti jurulatih, jadi ia sudah jelas dan tidak melanggar kontrak.

“Kalau dia hendak menarik kembali keputusan (letak jawatan) kami akan terima tetapi saya juga perlu membawanya kepada Exco BAM.

“Kalau orang yang mempunyai kebolehan hendak tolong kita tidak boleh tolak tetapi dia juga mesti terima cabaran baharu kerana BAM sekarang sudah berbeza dan ada sasaran tertentu,” jelas Tengku Mahaleel.



Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment