Thursday, September 12, 2013

Final pasti sengit


Kuantan: Pertembungan dengan skuad bawah 23 tahun Myanmar (B-23) di perlawanan akhir Pestabola Merdeka, Sabtu ini bakal menjanjikan aksi lebih sengit namun jurulatih Malaysia B-23 Ong Kim Swee yakin mereka sudah cukup bersedia.
Keyakinan pengendali Harimau Muda itu terserlah selepas menyaksikan anak buahnya mudah mengalahkan Thailand 3-0 pada perlawanan ketiga di Stadium Darul Makmur malam tadi meskipun tanpa lima tonggak utama yang direhatkan.

“Saya jangkakan perlawanan dengan Myanmar pasti sengit kerana mereka menurunkan pasukan utama dan mahu membalas dendam atas kekalahan pusingan awal.
“Kita akan bersedia dengan strategi tertentu dan apa yang penting pemain perlu kekal fokus,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan itu.

Kemenangan ke atas Thailand itu yang ketiga berturut-turut apabila menewaskan Singapura 1-0 pada aksi pembukaan sebelum mengalahkan Myanmar 2-1 selepas itu.

Namun Myanmar B-23 mara ke final apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Singapura B-23 dalam satu lagi perlawanan di Stadium Mini Temerloh malam tadi.
FotoNasir (kanan) meraikan jaringan pembukaan negara.
Tanpa tonggak utama, antaranya kapten Mohd Irfan Fazail, Junior Eldstal dan Wan Zack Haikal Wan Noor bukan satu masalah buat Malaysia menundukkan skuad kendalian Kairung Threejagsang yang memerlukan kemenangan untuk layak ke final edisi ke-41 itu.

Dua gol daripada penyerang Mohd Rozaimi Abdul Rahman dan satu gol Mohd Nasif Basharuddin yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada skuad negara.
Kim Swee mengakui strateginya merombak barisan pemainnya mengundang masalah kepada Thailand yang kepenatan beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lima hari.

“Pemain Thailand kepenatan dan saya menukar enam pemain dalam kesebelasan utama dan itu memberikan masalah kepada mereka.

“Walaupun pemain ini bermain pertama kali dalam kesebelasan utama, mereka membuktikan mampu untuk diturunkan pada bila-bila masa.

“Ini satu tanda positif buat pasukan,” katanya yang menjadikan kejohanan ini sebagai pemanas badan skuadnya sebelum membawa misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar Disember nanti.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment