Tuesday, September 03, 2013

Farhan nafi latihan tak berkesan

Kuala Lumpur: Apit kiri negara Farhan Adam menafikan program pendedahan di Thailand yang diharungi pemain negara tidak membantu meningkatkan prestasi mereka.
Prestasi skuad negara kembali mendapat tumpuan susulan kekalahan memalukan 3-0 kepada Korea Selatan pada final Siri Super ISTAF yang berlangsung di India kelmarin sekali gus mencetuskan rasa kurang senang pelbagai pihak mengenai nasib sukan berkenaan.

Malah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong mempersoalkan program pendedahan bersama tiga kelab Thailand sejak April dan berakhir bulan lalu dengan menganggap tahap permainan mereka lebih teruk berbanding ketika menjalani latihan dalam negara.
“Memang program latihan di Thailand ada membantu. Anda boleh lihat sebelum ini, jika tewas pasti disebabkan kegagalan untuk mengambil servis lawan, namun semalam (kelmarin) kami sudah membaikinya, cuma kami perlu mempertajamkan lagi ketika melakukan serangan.

“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia terutamanya peminat sepak takraw kerana tidak dapat memberikan kemenangan,” kata pengumpan negara yang beraksi di pentas final menentang Korea Selatan itu.

Bagaimanapun keberkesanan sebenar program pendedahan berkenaan terus menjadi tanda-tanya berikutan kekalahan memalukan itu.
Malah difahamkan dalam senarai lima pemain yang dibawa ke India hanya Norshahruddin Mad Ghani (Kalasin) dan Izurin Refin (Chonburi) berpeluang mewakili kelab beraksi di Liga Takraw Thailand dengan pemain lain sekadar menjalani latihan bersama kelab masing-masing.

Pada aksi malam kelmarin, skuad kendalian Jamaluddin Hassan kecundang tiga set. Korea Selatan menang dengan 15-10, 15-11, 15-10 untuk muncul juara kejohanan berkenaan.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment