Thursday, September 05, 2013

FAM gantung Zamri dua tahun

Kelana Jaya: Pemain pertahanan Kelantan Zamri Ramli dikenakan penggantungan dua tahun kerana positif menggunakan bahan terlarang.

Insiden berkenaan berlaku ketika perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun lalu membabitkan Kelantan menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


“Laporan yang kami peroleh daripada makmal Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di India menunjukkan sampel air kencing pemain berkenaan adalah positif menggunakan dadah jenis ‘methamphetamine’.

“Selepas membuat segala pertimbangan kami berpuas hati dan menjatuhkan hukuman gantung dua tahun menyebabkan dia tidak boleh terbabit dalam aktiviti bola sepak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abd Razak.

FotoZAMRI hadir memberi keterangan kepada FAM, semalam.

Bagaimanapun hukuman berkenaan ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada Zamri dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) membuat rayuan terhadap hukuman itu dalam tempoh 14 hari.

Pemain pertahanan berusia 23 tahun itu mengaku bersalah dan tidak meminta untuk diambil sampel B.

Ditanya sama ada terdapat ramai lagi pemain yang terbabit, Taufek enggan mengulasnya.

“Saya ingin mengingatkan semua pemain, kami memandang serius perkara ini dan tidak mahu ia menular dalam kalangan pemain lain, terutamanya pemain di peringkat bawahan seperti sekolah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu pemain pertahanan Kuala Lumpur, Hafizie Roslee dikenakan penggantungan enam bulan, denda RM2,000 serta amaran keras selain tidak boleh membuat rayuan.

“Pemain ini didapati dengan sengaja menendang bola kepada pemain lawan (Sime Darby FC) dalam kotak penalti sedangkan mempunyai pilihan lain seperti menendang keluar bola itu dan sebagainya,” jelas Taufek.

Perlawanan Liga Perdana itu berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu yang menyaksikan Sime Darby menang 5-0.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment