Wednesday, September 04, 2013

‘Biarlah itu hak beliau’


Kuala Lumpur: “Kita tidak tahu apa dalam pemikiran menteri. Saya tidak tahu menteri mendapat nasihat daripada siapa. Nak kata adil atau tidak, saya tidak boleh komen. Cuma beliau perlu fikir sama ada logik atau tidak membuat kenyataan dalam keadaan sekarang.”

Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Arshad Yahaya susulan kenyataan tegas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat mahu menyekat usaha badan induk itu mendapatkan peruntukan RM8.8 juta bertujuan mengembalikan kegemilangan sepak takraw negara untuk tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Khairy bersikap adil dengan kenyataannya terhadap PSM yang masih belum membentangkan pelan pembangunan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti dirancang.

“Saya melihat itu sebagai hak beliau (Khairy). Jika beliau tidak mahu membuat pembangunan tidak payahlah memberikan peruntukan tapi kita akan lakukan seandainya diberikan. Bagi saya kekalahan kepada Korea Selatan memang mengejutkan namun tiada apa yang hendak dihairankan kerana mereka membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun. Anda boleh menilai sendiri kesungguhan mereka yang menghantar pemain ke Malaysia selama sebulan bagi menimba ilmu di negara ini tahun lalu.

“Saya melihat sesuatu yang tidak mustahil untuk negara seperti Korea Selatan, Iran dan India bangkit satu hari nanti kerana selain mempunyai kesinambungan dalam aspek pembangunan, mereka juga mendapat bantuan dan sokongan kerajaan,” katanya.

Kem sepak takraw negara kembali panas dan mendapat perhatian ramai susulan kekalahan 3-0 kepada Korea Selatan dalam aksi final Siri Super ISTAF yang berlangsung di India, Ahad lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang Khairy dan Majlis Sukan Negara yang membiayai sebahagian besar program latihan dan pendedahan untuk skuad negara.

“Untuk Siri Super kali ini, jurulatih (Jamaluddin Hassan) sendiri mensasarkan kita melangkah ke separuh akhir selepas berdepan masalah tertentu dan aksi final itu satu bonus. Pada awalnya kita mahu membawa dua pemain lain namun disebabkan masalah yang timbul mereka terpaksa digantikan,” katanya merujuk kepada masalah disiplin dihadapi beberapa pemain utama negara sebelum kejohanan itu.

“Kenapa kekalahan kita kepada Korea Selatan ditimbulkan, sedangkan mereka juga menewaskan gergasi takraw dunia, Thailand (suku akhir) dan Indonesia (separuh akhir) sebelum itu. Saya tengok Thailand tidak melatah tapi di Malaysia sebaliknya,” tambahnya.

Terdahulu Arshad menghadapi mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PSM yang membicarakan tiga pemain elit kebangsaan - Zulkifli Abdul Razak (tekong), Syafiq Ab Rahman (pengumpan) dan Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (perejam) yang meninggalkan sesi latihan bersama kelab Thailand sebelum ini.

“Mengikut perlembagaan PSM, saya tidak boleh mendedahkan hukuman yang dikenakan kepada pemain selagi belum memaklumkannya kepada Presiden PSM (Datuk Ahmad Ismail) bagi mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi.

“Namun keputusan sudah dicapai terhadap tiga pemain berkenaan dengan segala aspek pertimbangan diambil kira termasuk jasa dan pengorbanan mereka,” kata Timbalan Pengerusi Akramudin Abd Aziz petang semalam.



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment